LIPIS: Koperasi yang terjejas akibat banjir baru-baru ini boleh memohon peruntukan daripada Tabung Bantuan Kecemasan dengan nilai maksimum RM30,000 bagi menampung kerugian yang dialami akibat musibah berkenaan.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mempunyai dana khas bagi membantu semua jenis koperasi yang terjejas akibat banjir.
Katanya, menerusi bantuan itu, ia dapat digunakan bagi membaiki bangunan atau membeli peralatan baharu untuk memulakan urus niaga koperasi.
“Banjir yang melanda semua daerah di Pahang kecuali Cameron Highlands menyebabkan koperasi termasuk koperasi sekolah terjejas dan rosak teruk.
“Ini kerana banjir kali ini dikatakan di luar jangka berlaku begitu cepat di samping kekangan pandemik Covid-19 yang melanda negara,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas program gotong-royong membersihkan bilik koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Orang Kaya Haji di sini semalam.
Abdul Fattah berkata, dalam kejadian banjir di SMK Orang Kaya Haji, barangan milik koperasi sekolah berkenaan seperti peralatan sekolah, buku-buku, pakaian sukan, mesin fotostat dan komputer musnah ditenggelami air bah.
Sementara itu, Pengarah SKM Pahang, Norazlan Anuar berkata, pihak koperasi perlu membuat laporan polis, bukti bergambar dan dokumen sokongan sebelum menghantar permohonan bantuan berkenaan.
“Pihak SKM telah turun ke lapangan dan mengenal pasti 40 koperasi terbabit banjir yang mengalami kerugian lebih RM2 juta keseluruhannya,” katanya.
Sementara itu, Pengetua SMK Orang Kaya Haji, Kamaluddin Ibrahim berkata, dianggarkan sekolah itu mengalami kerugian kira-kira RM600,000 akibat kerosakan peralatan.
“Pihak sekolah akan membuat permohonan kepada SKM mengikut prosedur ditetapkan supaya bantuan diperoleh boleh dijadikan modal awal memulakan kembali perniagaan koperasi sekolah,” katanya. – UTUSAN