MELAKA: Selepas di Pulau Pinang dan Johor, sebuah restoran makanan terkenal di Jonker Walk, Jalan Hang Jebat, di sini pula diserbu polis yang merampas 18 potret mirip pemimpin Parti Komunis China, Mao Zedong.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman berkata, seorang wanita berusia 51 tahun dipercayai pemilik premis berkenaan turut ditahan kira-kira pukul 1 petang semalam.
Bagaimanapun, wanita terbabit dibebaskan dengan jaminan polis hari ini setelah keterangannya diambil.
“Serbuan itu adalah hasil maklumat orang awam selain pemantauan daripada pihak polis yang mendapati beberapa gambar pemimpin terbabit digantung di dinding dalam premis.
“Kita sudah membuka kertas siasatan untuk kes ini dan pemilik premis terbabit sudah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Sukri, kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram.
“Kes terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbitkan atau mengedar sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam,” ujarnya.
Terdahulu, sebuah restoran di Georgetown, Pulau Pinang juga disiasat selepas pemiliknya menghias dua premisnya masing-masing di Auto City dan Pulau Tikus dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis.
Sementara itu, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menurunkan papan iklan sebuah premis makanan di Taman Mount Austin di sini pada Isnin lalu kerana turut mengandungi unsur-unsur komunisme.
Papan iklan tersebut mengandungi elemen atau logo bintang satu yang dilihat menyentuh sensitiviti masyarakat. – UTUSAN