Kompaun tidak memakai pelitup muka, pengusaha restoran muat naik rakaman CCTV - Utusan Malaysia

Kompaun tidak memakai pelitup muka, pengusaha restoran muat naik rakaman CCTV

TANGKAP layar video rakaman CCTV yang dimuat naik Nur Izzati Aqilah Lokman Hakim di Twitter dalam kejadian di Segamat, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Wanita yang dikompaun kerana tidak memakai pelitup muka memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) bagi menyangkal dakwaan polis bahawa ada orang lain berdekatan dengannya di Jalan Pusat Komersil Yayasan 3, Segamat, Rabu lalu.

Dalam rakaman tersebut, pengusaha restoran, Nur Izzati Aqilah Lokman Hakim dilihat sedang keluar daripada kereta di kawasan meletakkan kenderaan sebelum didatangi kereta peronda polis (MPV).

Nur Izzati berkata, dia didenda di depan kafe miliknya bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka.

Jelasnya, ketika kejadian berlaku, dia sedang mengambil anaknya keluar daripada kereta dan tiada orang lain di sekitarnya pada waktu itu. 

“Anda bayangkan, saya baru keluar daripada kereta dan nak pergi ambil anak di tempat duduk penumpang.

“Bukan tempat sesak, kafe saya pun tak buka lagi. Dia (polis) saman saya sebab saya bukan ahli politik. Kedai keliling kafe saya semua tutup!,” ciapnya di akaun Twitter bernama Kakti64 hari ini. 

Semalam, Polis Johor menyangkal dakwaan wanita berusia 29 tahun itu yang mendakwa dirinya dikenakan kompaun kerana tidak memakai pelitup muka di kawasan tidak sesak. 

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, siasatan yang dijalankan mendapati bahawa semasa kejadian ramai pengunjung yang lalu lalang mengunjungi kedai dan premis yang berhampiran kawasan tersebut.

Sementara itu, Nur Izzati berkata, pada waktu kejadian, hanya ada dia dan anak-anaknya yang berada di situ selain anggota polis terbabit.

Dia turut berkongsi tangkap layar laporan portal petikan kenyataan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa pelitup muka tidak wajib jika individu itu hanya berseorangan atau bukan di tempat sesak bertarikh 15 Disember lalu.

Katanya, pada awal, dia mahu membuat bantahan terhadap denda tersebut sebelum berubah fikiran kerana merasakan ia tidak akan membuahkan hasil.

“Saya bukan nak menyerah kalah tapi nampaknya kes ini macam tak ada harapan sahaja. Sudah bagi bukti rakaman CCTV tempat tak sesak pun tidak ada maklum balas.

“Saya ada video penuh berdurasi enam minit tapi tidak pandai hendak kongsikan video tersebut. Saya reda, tunggu mahkamah Yang Maha Esa sahaja lah,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya