KLIP: Kerajaan NS akan berhubung dengan Melaka soal pampasan nelayan - Utusan Malaysia

KLIP: Kerajaan NS akan berhubung dengan Melaka soal pampasan nelayan

AMINUDDIN HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan berhubung dengan kerajaan negeri Melaka berhubung perkembangan projek pembinaan Projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion di Kuala Linggi, Melaka.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan akan menulis surat kepada Melaka bagi mengetahui langkah-langkah dan tindakan yang diambil bagi memastikan pembinaan projek berkenaan termasuk aktiviti penambakan laut tidak mendatangkan masalah di pihak Negeri Sembilan.

“Kerajaan Negeri Sembilan telah berbincang sebelum ini dengan kerajaan Melaka untuk menetapkan jarak di antara sempadan dengan projek tersebut mestilah sekurang-kurangnya 500 meter. Kita tidak mahu timbul masalah selepas ditambah, air Sungai Linggi yang merupakan sungai utama di negeri ini tidak dapat mengalir dengan baik terus ke laut.

“Juga dibincangkan adalah nasib nelayan berhampiran projek berkenaan khususnya yang berada di Negeri Sembilan, tidak boleh lepas tangan dalam soal ini, kesannya (kepada nelayan) akan lebih besar, kita akan berbincang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri, Seremban, kelmarin.

Baru-baru ini Utusan Malaysia melaporkan kebimbangan nelayan Telok Kemang ekoran ura-ura pembinaan KLIP yang akan bermula pada suku pertama tahun ini.

Pembinaan pelabuhan antarabangsa yang melibatkan kerja-kerja menambak laut seluas kira-kira 248 hektar itu tentunya memberi kesan kepada kawasan perairan di Negeri Sembilan termasuk menjejaskan hasil tangkapan selain hal pampasan setimpal yang tiada khabar berita mengundang keresahan kepada para nelayan.

Sementara itu, menurut Aminuddin, isu pampasan kepada nelayan juga merupakan antara perkara yang dibangkitkan dalam perbincangan awal kedua-dua buah negeri berkenaan projek tersebut sebelum ini.

“Itu juga perkara yang disebut tentang soal pampasan masa kita bermesyuarat di peringkat awal, persetujuan bagaimana mereka nak buat pelabuhan, nelayan harus diberi perhatian. Itu yang kita minta untuk diberikan pertimbangan, perkara ini telah kami sampaikan awal lagi,” katanya.

Difahamkan, projek pembinaan KLIP akan dimulakan pada suku pertama tahun ini dan akan mengambil masa lima hingga lapan tahun bagi menambak laut seluas kira-kira 248 hektar.

Ia kemudian akan dimajukan dengan pelbagai kemudahan berkaitan pelabuhan yang memberikan perkhidmatan kepada kapal antarabangsa termasuk akan menempatkan tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, limbungan fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk fasiliti himpitan kapal. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya