ELEBU: Penduduk sekitar Klinik Komuniti Taman Bukit Kempas, dekat sini boleh menarik nafas lega apabila perkhidmatan kesihatan berkenaan tidak ditutup operasinya seperti mana yang diputuskan pada Oktober tahun lalu.
Difahamkan, klinik berkenaan merupakan antara tiga klinik komuniti di negeri ini yang bakal ditutup awal tahun ini.
Dua lagi klinik di daerah Seremban iaitu Klinik Komuniti Bukit Mika dan Klinik Desa Jasmin Nilai.
Menurut Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, beliau telah mengenengahkan isu penutupan klinik komuniti berkenaan dalam perbahasan Kementerian Kesihatan bagi peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021, Disember lalu.
Beliau meminta kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan kembali penutupan klinik berkenaan.
“Klinik komuniti atau sebelum ini dikenali sebagai Klinik 1Malaysia merupakan perkhidmatan penting kepada rakyat. Di Jelebu, Klinik Komuniti Taman Bukit Kempas yang pada mulanya diuar-uarkan bakal ditutup Februari ini telah ditangguh penutupannya sehinggalah ke tahun 2023.
“Keputusan ini nyata telah memberi kelegaan kepada penduduk berbilang kaum di sini termasuklah Orang Asli yang sememangnya memanfaatkan sepenuhnya kewujudan klinik ini sejak tahun 2013 lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Sementara itu, Ketua MCA Cawangan Titi, Datuk Siow Chen Pin, berkata, beliau mengetahui penduduk di kawasan sekitar tentunya menyambut baik keputusan untuk tidak menutup klinik tersebut.
“Ada masanya jumlah pesakit mencecah sebanyak 30 orang sehari, ” katanya. – UTUSAN ONLINE