Klinik, hospital swasta tidak lapor kes Covid-19 - Utusan Malaysia

Klinik, hospital swasta tidak lapor kes Covid-19

AMIRUDIN SHARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Tindakan klinik dan hospital swasta yang tidak melaporkan secara terus kes Covid-19 merupakan salah satu faktor penyumbang peningkatan virus itu direkodkan di Selangor.

Malah, peningkatan kes Covid-19 di negeri ini juga disebabkan kes kumulatif (backlog cases) daripada saringan pekerja kilang dan di penjara yang dapat dikesan kes yang berlaku 10 hari yang lalu. 

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara tersebut dijelaskan di taklimat yang dipengerusikannya bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam Mesyuarat  Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri bagi Kawalan Covid-19 malam tadi.

“Oleh demikian, dalam memutuskan rantaian Covid-19, JKNS akan mengenakan kompaun terhadap klinik atau hospital swasta yang tidak melaporkan kes positif secara terus pada hari yang sama melalui Sistem Informasi Makmal Kesihatan Awam (SIMKA).

“Selain itu, kita juga telah mengenal pasti kilang-kilang di seluruh Selangor sebagai kawasan utama perebakan wabak. Oleh demikian, kita akan melaksanakan Program ‘Preventing Outbreak at Ignition Site’ (POIS) dalam usaha memutuskan rantaian serta mengelakkan kluster di tempat kerja. 

“POIS adalah program saringan di semua kilang dan tempat kerja yang berpotensi mencipta kluster dan perebakan. POIS akan dilaksanakan dengan kerjasama JKNS, Selgate Corporation Sdn. Bhd. dan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, bagi mengelakkan tercetus kluster baharu di kilang dan tempat kerja, kerajaan negeri juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Persekutuan untuk mengambil tindakan tegas dan menutup kilang yang menyembunyikan kes positif dalam kalangan pekerja serta tidak memberikan kerjasama untuk aktiviti pengesanan kontak rapat.

Jelasnya lagi, dalam mesyuarat itu juga pihaknya membincangkan cadangan untuk menambah Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) terutama di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak yang berperanan untuk menganalisa pesakit bagi dikelaskan mengikut kategori tertentu sebelum dibawa ke pusat kuarantin ataupun hospital untuk rawatan lanjut. 

“JKNS turut memaklumkan bahawa Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) MAEPS Serdang telah ditambah fasiliti dan mampu menampung tambahan 6,000 orang pesakit selain menyediakan khemah ICU dan peralatan perubatan.

“Saya menyeru semua supaya terus mematuhi prosedur operasi standard(SOP) dalam memutuskan rantaian selain kekal konsisten memakai pelitup muka dan jaga penjarakan fizikal,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN