PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan menubuhkan 213 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh negara bagi mengendalikan penilaian pesakit yang menjalani rawatan di rumah.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 40 ditubuhkan di Sarawak, Pulau Pinang (30), Sabah (25), Selangor (19), Kelantan (14) Terengganu (13) dan masing-masing 11 di Perlis, Kedah, Perak serta Pahang.
Menurut beliau, selain itu, sebanyak 10 CAC ditubuhkan di Johor; tujuh di Negeri Sembilan; masing-masing lima di Melaka, Kuala Lumpur dan Putrajaya serta satu di Labuan.
Katanya, CAC akan mengklasifikasi tahap pesakit Covid-19 untuk menentukan pengurusan pesakit secara lanjut termasuk kelulusan rawatan di rumah.
“Secara amnya, satu daerah mempunyai satu CAC dan ada kemungkinan wujudnya dua atau lebih CAC bergantung kepada bilangan pesakit yang diuruskan.
“CAC akan berperanan mengenal pasti pesakit yang sesuai untuk dipantau di rumah. Petugas CAC kemudian akan memantau dan menilai pesakit di rumah menggunakan Home Assessment Tool (HAT),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Adham berkata, pasukan CAC juga akan bertindak mengenal pasti dan menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk.
“CAC juga akan mengenal pasti pesakit yang memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit Kategori 1 & 2 yang tidak sesuai untuk ditempatkan dan tidak sesuai dipantau dari rumah,” katanya.
Katanya, CAC juga berfungsi untuk menyelaras rujukan dari klinik kesihatan ke PKRC atau ke hospital dengan setiap CAC di peringkat daerah diketuai oleh seorang koordinator.
“Orang ramai yang mempunyai keperluan boleh menghubungi CAC melalui nombor telefon yang akan dinyatakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing,” katanya.
Sementara itu, katanya, Kementerian menerusi pelbagai peringkat dan saluran akan memaklumkan langkah langkah seterusnya yang mesti dipatuhi dan diamalkan oleh pesakit sepanjang tempoh rawatan di rumah.
“Kementerian menyeru masyarakat supaya bersama-sama memerangi penularan Covid-19 secara bersepadu,” katanya. -UTUSAN ONLINE