SEREMBAN: Sebuah premis yang dipercayai mengunakan logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tanpa kelulusan di Taman Seremban Jaya dekat sini diserbu dalam Operasi Penguatkuasaan Halal, dekat sini hari ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman berkata, serbuan pada pukul 11.15 pagi itu disertai sepasukan empat pegawai dari KPDNHEP Negeri Sembilan diketuai Pegawai Penguat kuasa, Mohd Tarmimi Rashid dan lima orang pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).
Serbuan dijalankan di sebuah premis pembuatan biskut dan roti yang disyaki menggunakan logo halal Jakim pada produk makanan tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak JHEAINS.
Menurutnya, tindakan berkenaan adalah hasil daripada pemantauan yang dibuat oleh pihak KPDNHEP Negeri Sembilan dan JHEAINS selama seminggu.
“Premis tersebut merupakan sebuah perusahaan pembuatan makanan iaitu biskut dan roti.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati sijil pengesahan halal untuk produk yang dimiliki oleh perniagaan ini telah digantung pada 23 September tahun lalu dan seterusnya telah ditarik oleh JHEAINS pada 12 Oktober tahun lalu.
“Namun begitu, logo halal JAKIM masih digunakan pada paket-paket pembungkusan produk keluaran perniagaan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ain Arjuna berkata, sebanyak 687 unit paket produk makanan keluaran perniagaan berkenaan disyaki menggunakan logo halal tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada berkuasa telah disita dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM 834.80.
Menurutnya, kesemua barangan tersebut di sita di bawah Perkara 8 (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 kerana melanggar Perkara 4 (1)(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011.
“Jika sabit kesalahan, bagi suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.
“Bagi individu, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun, dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Tambahnya, pihak KPDNHEP Negeri Sembilan akan terus menjalankan operasi yang sama ke atas mana-mana pihak yang didapati menggunakan logo halal pada mana-mana produk makanan dan barang-barang tanpa mendapat perakuan halal yang sah daripada pihak berkuasa berwibawa iaitu Jakim dan JHEAINS.
“Peniaga dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh KPDNHEP dalam menjalankan perniagaan dan perdagangan masing-masing,” katanya. – UTUSAN