JOHOR BAHRU: Ketua sindiket berusia 44 tahun dan teman wanitanya serta tiga lagi lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas 18 pertuduhan terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah melibatkan nilai rampasan sebanyak RM341 juta yang dibongkar polis Johor, awal bulan ini.
Tertuduh, Goh Chee Kuang; kekasihnya, Lee Chia Hui, 33; Bally Paw Shaw Kiat, 38; serta dua beradik, Lye Chang Pung, 39, dan Lye Chang Lim, 35, hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dalam prosiding yang dilakukan di hadapan Majistret Nurmardiana Mamat.
Chee Kuang, Chia Hui dan Chang Lim masing-masing berdepan tiga pertuduhan, manakala Chang Pung berdepan lima pertuduhan dan Shaw Kiat pula empat pertuduhan.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa mengedar beberapa jenis dadah berbahaya termasuk ketamin dan methamphetamine antara 102 gram (gm) hingga 210 kilogram (kg).
Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Taman Mount Austin, Taman Baiduri dan Taman Setia Indah, di sini antara 9 hingga 15 Januari tahun ini.
Kelima-lima tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Faizal Noor Hadi dan Suriani Ujang, manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam Bela, Datuk Micheal K. L. Chee dan Kevin Quah Kai Weng.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu keputusan laporan kimia.
Sebelum ini, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberitahu, serbuan terhadap sindiket pengedaran dadah terbabit melibatkan rampasan dadah terbesar dalam sejarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negara.
Pihaknya telah melakukan sejumlah 23 serbuan di beberapa lokasi sekitar bandar ini antara 8 hingga 23 Januari lalu yang menyaksikan seramai 17 suspek berusia antara 17 hingga 62 tahun ditahan.
Serbuan berkenaan turut menyaksikan polis berjaya membongkar lima stor penyimpanan dadah dan dua makmal haram memproses dadah yang dipercayai telah beroperasi sejak 2018. -UTUSAN ONLINE