'Kesihatan saya baik, tiada batuk cuma suara parau sikit' - Utusan Malaysia

‘Kesihatan saya baik, tiada batuk cuma suara parau sikit’

MUSTAPA MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: “Alhamdulillah, kesihatan saya baik. Suhu normal, tiada batuk, cuma suara parau sikit. Terima kasih kepada semua yang menyampaikan ucapan, yang berdoa dan solat hajat.”

Demikian jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed yang sedang menerima rawatan akibat positif Covid-19 Hospital Raja Perempuan Zainab 2 di Kelantan.

Melalui catatan di Facebook miliknya, Mustapa berkata, beliau amat memahami tindakan kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana virus itu perlu dikawal dengan penuh ketegasan demi negara.

Beliau berkata, pengumuman darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga amat penting bagi memastikan negara menang dalam memerangi Covid-19 dan memulih serta menstabilkan ekonomi.

Beliau berharap ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang meletakkan kepentingan rakyat di atas segalanya.

“Rakyat perlukan pertolongan. Dengan hanya bersatu kita boleh tangani krisis yang amat mencabar ini. Hentikan politiking. Letakkan perbezaan politik di tepi dan tumpukan perhatian kepada rakyat yang dahagakan pertolongan,” katanya.

Beliau yang dikenali sebagai Tok Pa berkata, tanggungjawab sebagai rakyat juga amat besar dan tidak boleh sekali-kali leka daripada mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, elakkan ruang sempit, bersembang dekat dan tempat sesak selain sentiasa jaga jarak, cuci tangan dan pakai pelitup muka.

Hanya dengan cara itu, katanya, boleh mengelakkan penularan jangkitan Covid-19.

“Ya Allah, kami berlindung pada-Mu daripada segala penyakit dan malapetaka. Permudahkanlah urusan kami semua,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya