KUALA TERENGGANU: Jumlah kumulatif kes demam denggi di negeri ini menurun 25.5 peratus sepanjang tahun lalu dengan sebanyak 404 kes berbanding 542 kes yang direkodkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, Kuala Terengganu mencatatkan bilangan kes tertinggi sebanyak 209 kes diikuti Kuala Nerus (72 kes), Kemaman (35 kes), Dungun (26 kes), Besut (25 kes), Marang (19 kes), Hulu Terengganu (13 kes) dan Setiu (5 kes).
Bagaimanapun, katanya, kesemua daerah tersebut menunjukkan penurunan kes kecuali Kuala Nerus yang melonjak sebanyak 26.3 peratus atau bersamaan 15 kes.
“Tiada kematian akibat denggi dilaporkan di negeri ini pada tahun lalu dan dalam tempoh sama, sebanyak 25 episod wabak direkodkan di Terengganu.
“Dalam situasi musim monsun ini lokaliti yang dilanda banjir berisiko untuk menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes jadi masyarakat dinasihatkan untuk sentiasa memastikan kawasan perumahan mereka termasuk di dalam rumah tidak menjadi habitat nyamuk bertelur,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN