MARANG: Idea kreatif pasangan suami isteri warga emas di Kampung Rhu Muda di sini menghasilkan keropok lekor bersaiz gergasi menyebabkan mereka tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pelanggan.
Hasmah Mohd., 67, berkata, dia dan suami, Endut Yahya, 74, tidak menyangka keropok seberat satu kilogram dan panjang kira-kira 27 sentimeter yang dijual pada harga RM13 itu berjaya menarik perhatian ramai.
Katanya, ekoran sambutan luar biasa itu, mereka dengan dibantu anak-anak dan cucu terpaksa menyediakan antara 300 hingga 400 tongkol keropok selang dua hari.
Menurut nenek kepada 19 cucu itu, dia mula terlibat menjual keropok sejak 1990-an lagi, tetapi perniagaan tersebut dihentikan pada 2015 berikutan masalah kesihatan.
“Dua tahun lalu, saya kembali membuat keropok dan atas permintaan pelanggan serta mahukan kelainan, kami menghasilkan keropok lekor gergasi yang saiznya lebih besar daripada kelaziman.
“Pada peringkat awal, saya cuma buat kira-kira 20 tongkol sehari tetapi selepas anak memuat naik gambar di Facebook awal tahun ini, jualan melonjak hingga kami tidak menang tangan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya baru-baru ini.
Hasmah berkata, permintaan keropok lekor gergasi bukan sahaja diterima dalam kalangan penduduk di seluruh daerah malah turut ditempah pelanggan dari pelbagai negeri termasuk Kuala Lumpur.
Katanya, kira-kira 250 kilogram isi ikan diperlukan untuk menghasilkan sehingga 400 tongkol keropok dengan proses memasaknya menggunakan kaedah tradisi iaitu direbus dengan kayu api bagi mengekalkan keaslian rasa.
“Kami mengambil resipi turun-temurun keluarga untuk memastikan keenakan dan kelembutan keropok lekor, walaupun pedih mata akibat asap kayu api tetapi saya tetap tidak mahu menggunakan gas memasak.
“Dahulu suami cuma nelayan dan hasil jualan keropok banyak membantu dalam membesarkan 12 anak,” katanya yang merancang memperluaskan lagi perniagaan termasuk menawarkan peluang menjadi ejen kepada mereka yang berminat. -UTUSAN ONLINE