KLUANG: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke atas seorang lelaki yang dilaporkan hilang ketika melalui Jalan Batu Pahat-Mersing, Batu 18, Kahang di sini petang semalam berjaya menemui kereta yang dinaiki mangsa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Akob Sedek berkata, kereta Proton Waja milik Md. Rajihan Junaidi, 28, ditemukan pada pukul 6.10 petang hari ini.
Menurutnya, kereta itu ditemui pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan dihanyutkan air deras.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas iaitu ‘gripping iron’ besi bermagnet untuk mengesan lokasi kereta mangsa.
“Kereta dapat dijumpai namun mangsa tiada di dalam kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Akob berkata, kereta tersebut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6.30 petang dan akan disambung pagi esok. – UTUSAN