Kerajaan sumbang RM260,000 kepada golongan rentan  - Utusan Malaysia

Kerajaan sumbang RM260,000 kepada golongan rentan 

ZULKIFLI Mohamad al-Bakri melancarkan agihan sumbangan melalui misi #MusaadahCovid-19 di Putrajaya, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA:  Kerajaan bersetuju menyumbang sebanyak RM260,000 menggunakan peruntukan Tabung Musa’adah Covid-19 kepada Agensi Mengurus Zakat  (AMZ) selain Wilayah Persekutuan untuk disampaikan kepada golongan rentan di negara ini. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri berkata, agihan sumbangan melalui misi #MusaadahCovid-19 kepada golongan asnaf, fakir miskin dan kelompok B40 itu mencecah RM365 juta sejak dimulakan Mac tahun lalu. 

“Saya ingin menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak berkuasa agama negeri melalui majlis agama islam negeri-negeri (MAIN) dan AMZ seluruh negara yang sentiasa bertungkus-lumus dan komited dalam menyampaikan bantuan,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Sementara itu, Zulkifli berkata, kerajaan turut bersetuju memperuntukkan sumbangan tambahan sebanyak RM40,000 kepada negeri yang dilanda musibah banjir baru-baru ini. 

Katanya, peruntukan tambahan itu diberikan Majlis Agama Islam Johor, Majlis Agama Islam Pahang, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu. 

“Kerajaan melalui Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR); Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim); Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) ; Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan serta lain-lain akan terus mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama negeri dalam memberikan yang terbaik demi kebajikan para asnaf,” katanya. 

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, beliau juga menggalakkan masyarakat awam dan syarikat korporat agar terus menyumbang ke tabung Musa’adah Covid-19 Jakim-YWM. 

“Saya menyeru umat islam terus istiqamah melaksanakan kewajipan berzakat melalui pihak MAIN dan AMZ masing-masing. 

“Semoga pengurusan zakat di negara ini akan terus kehadapan dalam membela asnaf di samping mempertingkatkan usaha pemerkasaan sosio- ekonomi ummah,” katanya. 

Sumbangan ke Tabung Musaadah Covid-19 boleh dibuat di atas nama Yayasan Wakaf Malaysia di nombor akaun CIMB Islamic Bank 8602218186.  -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya