Kerajaan PN lemah, tidak berfungsi - Utusan Malaysia

Kerajaan PN lemah, tidak berfungsi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan seolah-olah tidak berfungsi dan hampir lumpuh kerana hanya mampu membisu biarpun didesak segelintir pihak untuk mempercepatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu, Azan Ismail berkata, sikap mengunci mulut dan berlengah-lengah dalam membuat keputusan itu sekali gus membuktikan kerajaan memerintah ini merupakan sebuah kerajaan yang lemah.

Beliau turut mempersoalkan tindakan berdiam diri itu bukan hanya tertumpu dalam isu PRU-15, bahkan turut membabitkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan peningkatan kes Covid-19.

“Isunya sekarang kenapa Perdana Menteri terlalu lemah dalam membuat keputusan? Adakah beliau takut? Sedangkan seluruh rakyat kini sudah berada dalam keadaan ketakutan akibat Covid-19 dan tindakan kerajaan membisu menambahkan lagi kebimbangan ramai.

“Bagi saya, sebab utama Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan mendesak agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan segera hanya bertujuan mempersendakan beliau (Muhyiddin) sebab dia tahu Perdana Menteri dalam keadaan tertekan dan tidak dapat membuat keputusan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Azan, sekiranya kerajaan PN gagal memikirkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu-isu berbangkit hingga keadaan menjadi lebih kucar-kacir, maka jalan terbaik yang boleh diambil adalah agar Perdana Menteri berundur.

Katanya, tiada gunanya Muhyiddin meneruskan pentadbiran jika situasi semasa menjadi meruncing hingga tidak mampu memikul bebanan.

Sementara itu, Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) negeri, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, sebagai seorang ketua, Perdana Menteri tidak seharusnya membisu dan mesti tampil ke hadapan menyelesaikan setiap isu yang timbul.

“Kita sedang menghadapi krisis global Covid-19 dan banjir yang teruk ditambah pula dengan kemelut politik parti rumah tangga Abah sendiri yang kucar-kacir, jadi anak-anak tidak sepatutnya terus dibiarkan dalam keadaan keliru,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya