SHAH ALAM: Kerajaan perlu meningkatkan kemampuan teknologi dalam pengesanan kontak rapat Covid-19 susulan peningkatan angka positif terutama di Selangor.
Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, beliau melihat pengesanan kontak rapat pada masa kini amat lambat kerana kita menggunakan tenaga manusia dan bukannya aplikasi digital.
Menurutnya, langkah paling mustahak adalah meningkatkan jumlah kakitangan barisan hadapan untuk mempercepatkan proses kesemua rantaian kegiatan ujian, kontak rapat, isolasi, kuarantin, rawatan dan pemantauan pesakit dalam kuarantin.
“Di Selangor, sebagai negeri yang paling pesat dengan kepadatan penduduk dan kegiatan industri, perniagaan serta tapak-tapak pembinaan, pasti akan menanggung padah yang paling teruk.
“Sekiranya proses ini lambat dan tergendala, kita hanya mampu memainkan peranan mengekori sahaja virus ini sekaligus mengakibatkankadar transmisinya akan terus melambung tinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Dr. Dzulkefly yang juga merupakan Pengerusi Pasukan Petugas Khas Menangani Covid-19 Selangor (STFC) berkata, kerajaan perlu memerhatikan kadar positif dalam ujian saringan yang perlu dipergiatkan dalam komuniti yang mana kadar positif kurang daripada lima peratus adalah ukuran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut beliau, sebagai contoh, sekiranya 1,000 ujian saringan dilakukan, keputusan positif umpama 200 kes positif adalah 20 peratus kadar positif.
“Ini bermaksud virus sedang ‘berkeliaran’ dalam satu satu komuniti atau tempat perebakan. Ini perlu ditangani dengan kadar segera dengan menggunakan beberapa pendekatan kesihatan awam yang terbukti berkesan seperti pertambahan ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) dengan meluas.
“Sekiranya ujian mendapati hanya 50 kes atau lebih rendah lagi, maka boleh dianggap sebagai terkawal di bawah paras ‘baseline’.
“Malaysia pada suatu ketika pernah mencatat kadar kes positif 9.0 peratus yang kini telah turun kepada 5.8,” ujarnya.
Tambahnya, pihaknya mengesyorkan satu program proaktif (bukan reaktif) iaitu Program Mencegah Tercetus Perebakan di Tapak-Tapak Penularan (POIS) dengan kerjasama tiga penjuru.
“Tumpuan utama diberikan termasuk menjalankan saringan berkala di semua kilang dan tempat kerja termasuk tapak-tapak binaan.
“POIS akan menjalin kerjasama antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Selgate Corporation Sdn. Bhd., pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) bersama kegiatan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Perubatan-Kesihatan seperti Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMARET),” ujarnya. -UTUSAN ONLINE