Keputusan permohonan gugur Sri Ram 15 Februari - Utusan Malaysia

Keputusan permohonan gugur Sri Ram 15 Februari

GOPAL SRI RAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini menetapkan 15 Februari ini bagi memutuskan permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini di peringkat perbicaraan.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas memaklumkan pihaknya memerlukan masa selama tiga minggu untuk menyampaikan keputusan.

Pada 12 Jun tahun lalu, bekas Perdana Menteri itu mengemukakan permohonan menggugurkan Sri Ram yang juga bekas Hakim Mahkamah Persekutuan dengan disokong dua afidavit yang difailkannya dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Terdahulu, peguam Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berhujah agar peguam terkemuka itu tidak lagi terlibat dalam pasukan pendakwaan manakala perbicaraan terhadap Najib diteruskan dengan diketuai oleh timbalan pendakwa raya yang lain.

Beliau yang mewakili Najib berhujah, pelantikan Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan mewujudkan konflik kepentingan dan situasi berat sebelah kerana bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu telah membuat andaian dan menentukan anak guamnya bersalah sebelum didakwa di mahkamah.

Hujah Muhammad Shafee, surat lantikan yang dikeluarkan kepada Sri Ram menimbulkan keraguan kerana Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah yang disandarkan untuk melantik beliau sebenarnya khusus diguna pakai untuk lantikan pendakwa raya secara tetap, bukan secara ‘ad hoc’.

Dalam hujahnya, Muhammad Shafee turut menyatakan, perbualan di antara Mohamed Apandi dan Sri Ram kemudian didedahkan kepada pihak media yang boleh menimbulkan persepsi umum bahawa bekas hakim kanan itu mencampuri urusan siasatan sehingga membawa kepada pendakwaan Najib.

Jelas peguam bela, tindakan menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan bukan bertujuan menghukum beliau, sebaliknya bagi mengelak persepsi umum terhadap kes tersebut.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berhujah, bekas Hakim Mahkamah Persekutuan itu seorang yang profesional dan bertindak dalam bidang kuasanya selaku pendakwa raya serta tidak pernah mencampuri urusan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Hujah Ahmad Akram, tiada fakta material yang menyokong dakwaan Najib bahawa Sri Ram bersikap berat sebelah terhadap beliau walaupun bekas hakim kanan itu tidak menafikan pernah bertemu Mohamed Apandi di rumahnya di Jalan Dutamas di sini pada Januari 2018.

Selain itu menurutnya, teks melalui aplikasi WhatsApp di antara Sri Ram dan Mohamed Apandi hanyalah perbualan di antara dua sahabat lama kerana kedua-duanya pernah berkhidmat sebagai hakim Mahkamah Persekutuan.

Ahmad Akram kemudian menarik perhatian mahkamah berhubung tingkah laku Sri Ram sepanjang persediaan kes sehingga perbicaraan bermula yang mana menurut beliau, selaku pendakwa raya, Sri Ram hanya berpandukan kepada kertas siasatan seperti yang dipraktikkan oleh timbalan-timbalan pendakwa raya lain ketika mengendalikan kes.

Sehubungan itu beliau memohon mahkamah menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes berkenaan.

Najib, 68, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya bagi mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib, meminda laporan itu untuk melindungi bekas Perdana Menteri itu daripada dikenakan tindakan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN