PUTRAJAYA: Satu program transisi bagi memudahkan peralihan pembelajaran dari satu tahun ke satu tahun atau dari satu tingkatan ke tingkatan lain akan dirangka bagi memastikan kesediaan pelajar mengikuti pendidikan bagi tahun semasa.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim berkata, di samping Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilakanakan ketika ini untuk semua pelajar kecuali yang akan menduduki peperiksaan, program transisi itu selama 43 hari dilihat mampu mengatasi jika ada jurang pembelajaran khususnya bagi murid pra sekolah untuk memasuki persekolahan formal di tahun satu.
“Program ini kita nak lihat bagaimana nak melihat kesediaan dan mempersiapkan mereka sebelum mereka mengikuti PdP di tahun satu, Jadi program ini akan membantu proses tersebut.
“Begitu juga kita akan tambah baik penjajaran kurikulum, manakah bahagian daripada kurikulum itu yang merupakan teras, tambahan atau pelengkap di dalamnya. Ini juga bagi membolehkan kurikulum itu dapat dilaksanakan sebaiknya oleh guru bersama pelajar,” katanya dalam sidang akhbar secara sidang video di sini hari ini.
Habibah berkata, Kementerian Pendidikan tentunya ada kebimbangan terhadap pelajar yang mungkin tidak mampu menguasai membaca, menulis dan mengira (3M) memandangkan hanya beberapa tempoh sahaja mereka hadir ke sekolah pada tahun tersebut.
Katanya, kebimbangan itu mungkin terdapat perbezaan dari segi komunikasi dan bagaimana pembelajaran itu berlaku di rumah, oleh itu pihaknya telah pun mengambil kira perbezaan-perbezaan dari segi akses kepada pembelajaran ini melalui cadangan program transisi itu.
“Kementerian berharap guru-guru dapat melakukan program ini sebaiknya kerana boleh membantu murid menghadapi situasi peralihan ini dan mengharapkan program ini dapat berjalan sebaiknya,” katanya.
Mengulas mengenai PdPR, Habibah berkata, kementerian membuat pemantauan berterusan bukan sahaja untuk melihat kehadiran murid dan guru ke sekolah, tetapi bagaimana PdPR berlaku selain situasi penularan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah.\
Katanya, ini adalah supaya maklumat-maklumat yang diperoleh secara harian dapat digunakan Kementerian untuk membuat keputusan bersama Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jelas beliau, Kementerian juga telah mengadakan manual khas PdPR untuk memberi panduan kepada guru, ibu bapa dan pelajar dan kaedah pembelajaran itu tidak hanya terbatas dalam talian semata-mata.
PdPR katanya turut melibatkan penggunaan kaedah offline, TV Pendidikan dan penggunaan bahan bercetak.
“Kementerian mempunyai Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), yang memuatkan pelbagai aplikasi serta bahan-bahan sumber buku teks digital, video, permainan, eduweb tv dan pelbagai sumber lain boleh guna dalam PdPR.
“PdPR secara dalam talian bukan satu sahaja cara sebab kita tahu ada kekangan dalam kalangan guru dan pelajar dari segi akses internet, kemudahan peranti dan rangkaian, sebab itu kita ada kaedah luar talian apabila guru dan murid menggunakan modul buku teks, buku aktiviti dan sebagainya.
“Kita juga ada kaedah off site iaitu kaedah di lokasi seperti pusat komuniti dan premis pusat pemindahan sementara mangsa banjir. Kita sedar ada yang risau dan bimbang bahawa PdPR ini tidak boleh berlaku kerana tiada kemudahan atas talian tetapi sebenarnya ada pelbagai cara berlainan dna guru boleh melihat kesesuaian dan keperluan kaedah PdPR ini,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, kementerian turut merancang menambah program pendidikan menerusi televisyen memandangkan sebanyak 90 peratus isi rumah memiliki kemudahan itu.
Katanya, pihaknya telah pun melaksanakan TV Pendidikan sejak 6 April lalu melalui siaran TV Okey, Tv Astro (4 Mei 2020) dna NTV7 (23 November 2020) dengan durasi 6 jam dan meningkatkan lagi sehingga 9 jam.
“Kita sedang merancang dan bekerjasama dengan pihak lain untuk tambah dari segi waktu mengadakan lebih siaran TV pendidikan ini dan ini satu pendekatan pembelajaran boleh sampai kepada murid dan lebih meluas,” katanya. UTUSAN ONLINE