Keluarga Jamali Shadat kesal tular berita kematian - Utusan Malaysia

Keluarga Jamali Shadat kesal tular berita kematian

GAMBAR terbaharu Jamali Shadat yang sedang disuapkan makanan oleh ahli keluarganya. - UTUSAN/ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Keluarga Datuk Jamali Shadat kesal dengan berita kematian pelawak terkenal itu yang tular dalam laman sosial sejak pagi tadi.

Anak lelakinya, Sazli dalam Facebooknya berkata, berita yang tular membabitkan bapanya yang berusia 78 tahun itu adalah palsu dan pihaknya membuat kenyataan bagi menyatakan perkara sebenar.

“Berlegar berita palsu pasal Tok Jamali meninggal dunia. Semoga kita semua akan diberi kesejahteraan daripada Allah SWT.

“Harap dapat diperbetulkan berita palsu yang tersebar,” katanya.

Sementara itu penyanyi kumpulan Lefthanded, Datuk Nash berkata, beliau kesal dengan pihak tertentu yang menularkan perkara tersebut.

“Banyak pihak yang menghubungi saya melalui aplikasi WhatsApp bertanya berhubung berita tersebut. Untuk pengetahuan, saya ada melawat beliau beberapa bulan lalu di kediamannya.

“Malah saya juga menghubungi keluarganya bagi mendapatkan kepastian berhubung perkara tersebut. Mereka tidak mahu isu ini diperbesarkan kerana beliau masih dalam keadaan uzur,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Sementara itu Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Datuk Malik Ridzuan berkata, beliau berharap pengguna media sosial tidak menyebarkan berita sedemikian kerana tiada faedah yang boleh diperoleh daripadanya.

“Siasat dahulu dengan ahli keluarganya sama ada betul atau tidak berita tersebut. Sudah pasti baharu kongsi,” katanya.

Terdahulu tular dalam media sosial berita kematian Jamali yang sebelum ini terbaring dalam keadaan uzur. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN