Kelonggaran rentas daerah ketika PKP - Utusan Malaysia

Kelonggaran rentas daerah ketika PKP

SHAFIEN MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Polis memberi kelonggaran kepada peniaga dan pekerja harian untuk merentas daerah dengan mengeluarkan surat kebenaran perjalanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan bermula hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Shafien Mamat berkata, selain kelonggaran itu, polis juga bersedia mengeluarkan surat kebenaran rentas daerah bagi tempoh sepanjang PKP kepada individu yang mempunyai alasan kukuh atau isu kecemasan. 

“Mereka tidak perlu datang ke balai polis dua atau tiga kali untuk dapatkan surat kebenaran seperti PKP sebelum ini. Sekarang, cuma datang sekali ke balai polis dan mohon satu surat kebenaran sahaja untuk digunakan hingga berakhir PKP.

“Bagaimanapun, mereka harus jujur dan menunjukkan bukti kukuh sebelum memohon surat itu. Kemudahan ini diberikan untuk menggerakkan ekonomi negeri ketika kita berusaha memutuskan rantaian wabak Covid-19,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau turun padang melakukan tinjauan di sekatan jalan raya (SJR) Pasir Pekan, di sini selepas PKP dikuatkuasakan secara rasmi tengah malam tadi.

Dalam perkembangan berkaitan, Shafien berkata, seramai 448 anggota polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ditugaskan di 19 SJR di seluruh negeri Kelantan sepanjang tempoh PKP.

Sementara itu Tinjauan Utusan Malaysia di Gua Musang mendapati jumlah kenderaan berkurangan sehingga 50 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Rabu lalu.

Jumlah kenderaan di Jalan Gua Musang – Kuala Krai, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis, Jalan Gua Musang-Lojing dan Jalan Gua Musang-Jeli terus menurun dengan ketara apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini. 

Ketua Polis Daerah, Superintendan Sik Choon Foo berkata, selepas penguatkuasaan PKP bermula pukul 12.01 pagi ini, pemandu yang diperiksa di dua SJR di daerah ini sudah bersedia mengemukakan surat kebenaran perjalanan masing-masing.

“Kami akan terus memantau pergerakan kenderaan di jalan-jalan terbabit dan memastikan mereka ada surat kebenaran rentas daerah serta negeri.

“Harus diingat pemandu luar yang ingin memasuki Kelantan juga perlu mengemukakan keputusan ujian saringan Covid-19 kepada anggota polis bertugas di setiap SJR,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya