Kelengkapan SPM Titi Nadiah musnah dalam banjir - Utusan Malaysia

Kelengkapan SPM Titi Nadiah musnah dalam banjir

KEADAAN banjir di Kampung Sentosa Barat akibat aliran Sungai Serai yang melimpah sehingga mengakibatkan beberapa kawasan rendah terputus hubungan di Masai. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Scientex, di sini yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bersedih apabila hampir semua buku teks dan rujukannya rosak akibat bencana banjir.

Titi Nadiah Ab. Gafar, 17, berkata, buku berkenaan penting buatnya untuk mengulang kaji pelajaran sebagai persediaan menduduki SPM yang dijadual berlangsung pada awal tahun ini.

Menurutnya, dia juga gagal menyelamatkan barangan peribadinya akibat hujan lebat yang menyebabkan air naik dengan mendadak.

TITI Nadiah Ab. Gafar ketika ditemui di Masai. -UTUSAN/KHAIRUL MOHD ALI

“Hampir kesemua buku teks dan rujukan yang disimpan dalam almari sudah rosak dan tidak boleh digunakan lagi, sama ada sudah kembang atau melekat.

“Air naik dengan ketinggian hampir satu meter dengan cepat. Apa yang saya ingat semasa banjir saya hanya sempat membantu nenek dan adik-adik berkemas untuk dipindahkan,” katanya yang menetap bersama nenek dan tiga adiknya di Kampung Sentosa Damai, di sini.

Titi Nadiah yang juga anak kedua daripada enam beradik itu berkata demikian ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru, Masai di sini hari ini.

PPS itu menempatkan seramai 258 mangsa banjir daripada 70 keluarga melibatkan penduduk Kampung Sentosa Damai, Kampung Sentosa Barat dan Kampung Sentosa Persiaran.

Katanya, dia kini hanya belajar secara atas talian dalam sebuah khemah di PPS berkenaan bagi memastikan tidak ketinggalan pelajaran, namun liputan di kawasan itu sering terganggu.

Tambahnya, masalah ketiadaan buku teks itu akan dimaklumkan kepada pihak guru di sekolahnya kelak.

Sementara itu, seorang lagi mangsa banjir, Najib Jamaluddin, 29, dari Kampung Sentosa Persiaran pula memberitahu, ini merupakan kali kedua rumahnya dilanda banjir pada bulan ini.

“Kali pertama berlaku pada 1 Januari lalu yang mengakibatkan perabot dan peralatan elektrik seperti televisyen, periuk nasi dan pemanas air rosak serta terpaksa dibuang.

“Baru sahaja beberapa hari membersihkan rumah dari tanah dan lumpur, banjir sekali lagi melanda yang berpunca daripada faktor hujan lebat sepanjang hari,” katanya.

Ujar Najib, kebiasaannya banjir di kawasan terbabit berlaku pada hujung Disember tetapi berbeza dengan kali ini apabila ia berlaku pada awal tahun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya