Kedai servis, komputer riba terpakai laris - Utusan Malaysia

Kedai servis, komputer riba terpakai laris

ORANG ramai beratur menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan servis komputer riba masing-masing di Global We Shop, Jalan Tasik Utama, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/ DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Penjualan komputer riba terpakai dan servis peralatan itu di sebuah kedai komputer di Tasik Utama Ayer Keroh, di sini ibarat ‘goreng pisang panas’ susulan pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua selepas Mac tahun lalu. 

Tinjauan di kedai tersebut hari ini mendapati pelanggan mula beratur seawal pukul 10 pagi bagi mendapatkan perkhidmatan berkenaan dalam menjalani norma baharu sama ada bekerja mahupun belajar dari rumah. 

Seorang pelanggan, Soleha Shukor, 32, berkata, dia berkunjung ke kedai tersebut bagi membaiki komputer riba untuk kegunaan anaknya menjalani pembelajaran atas talian sebelum sekolah dibuka semula. 

Katanya, dalam keadaan kewangan tidak menentu disebabkan pandemik Covid-19, dia terpaksa mencari kedai-kedai yang menawarkan perkhidmatan membaiki komputer riba pada harga rendah. 

“Merata saya mencari kedai yang murah di Melaka ini sehinggakan terpaksa bergerak dari Pantai Puteri ke Masjid Tanah dan seterusnya Alor Gajah sebelum ternampak info mengenai kedai ini yang dikongsikan di Facebook. 

“Saya perlu baiki juga komputer riba ini bagi memudahkan anak saya mengikuti pembelajaran atas talian,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. 

Sementara itu, Muhamad Hamidi, 36, memberitahu, tujuannya ke kedai tersebut juga bagi membaiki komputer ribanya selepas diminta untuk bekerja dari rumah oleh pihak syarikat sejurus pengumuman PKP dibuat. 

“Saya bekerja di sebuah syarikat swasta di Ayer Keroh dan telah diminta untuk bekerja dari rumah sahaja sepanjang PKP ini. 

“Bagaimanapun, komputer saya telah rosak dan selepas mengambil kira keadaan ekonomi tidak begitu stabil, saya ambil keputusan untuk membaiki sahaja komputer riba ini daripada perlu mengeluarkan kos lebih tinggi untuk membeli yang baharu,” katanya. 

Dalam pada itu, Pegawai Khidmat Pelanggan Global We Shop, Abdul Hanif Abdul Rani berkata, permintaan bagi perkhidmatan servis di kedai tersebut naik mendadak sebaik sahaja pengumuman PKP oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin lalu. 

“Sebaik sahaja pengumuman dibuat, kami menerima lebih 60 pelanggan dalam masa sehari iaitu dua kali ganda berbanding hari-hari sebelumnya. Kira-kira 70 peratus pelanggan datang untuk melakukan servis manakala selebihnya membeli komputer riba terpakai,” katanya. 

Jelasnya, kedainya menjadi tumpuan ramai disebabkan tawaran harga servis yang berpatutan, manakala komputer riba terpakai dijual pada harga serendah RM350. 

“Bagaimanapun kami hanya melayan pelanggan di kaunter yang diletakkan di hadapan kedai bagi mengelakkan mereka berkerumun masuk ke dalam, langkah ini diambil bagi memastikan setiap pelanggan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya