MACHANG: Sejak dua tahun lalu, Omar Man, 71, cekal menjaga isteri, Che Hasnah Che Hassan, 59, yang lumpuh separuh badan akibat serangan angin ahmar dan setia menemani wanita itu tanpa rasa jemu.
Selain menjaga makan dan minum, segala keperluan peribadi Che Hasnah turut diuruskan sepenuhnya oleh lelaki itu, termasuk memandikannya dan memakaikan lampin pakai buang setiap hari.
Omar juga tidak pernah mengeluh biarpun terpaksa mengerah kudrat yang semakin berkurangan pada dirinya kerana menderita sakit buasir, untuk melakukan kerja-kerja seperti memasak, mencuci pakaian dan mengemas rumah.
“Menjaga isteri yang sakit bukan satu beban, sebaliknya adalah satu ujian dan saya tidak pernah putus berdoa semoga insan disayangi ini kembali sembuh,” kata warga emas itu ketika ditemui pemberita di kediaman mereka semalam.
Omar sebelum ini mencari rezeki bersama Che Hasnah dengan cara mengusahakan sebuah kedai makan yang terletak di bandar Machang sejak lebih 10 tahun lalu.
Selepas isterinya yang mempunyai komplikasi penyakit kencing manis, darah tinggi dan kolestrol diserang angin ahmar dua tahun lalu, Omar nekad berhenti berniaga supaya dapat memberi perhatian penuh kepada isteri.
“Isteri saya kini hilang upaya untuk berjalan, dan hanya mampu bergerak dengan kerusi roda.
“Saya mengambil keputusan berhenti berniaga kerana mahu beri perhatian penuh kepada isteri, termasuk membawa dia berubat dan berurut bagi memulihkan kesihatannya,” katanya.
Setiap bulan Omar memerlukan kira-kira RM1,000 untuk membeli keperluan Che Hasnah seperti susu khas, lampin pakai buang serta ubat-ubatan dan dia bersyukur apabila isterinya layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM350 sebulan.
“Selepas dua tahun tidak berniaga, wang simpanan habis dibelanjakan untuk merawat isteri termasuk menggunakan urutan tradisional. Memang nampak ada perubahan, tetapi saya terpaksa berhenti dulu kerana masalah kewangan.
“Sekarang kami mengharapkan bantuan JKM dan anak-anak tetapi mereka juga hanya cukup makan dan masing-masing sudah berkeluarga,” ujarnya sambil memberitahu dia seboleh-bolehnya enggan menyusahkan anak-anak.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya kepada akaun Bank Islam 603045022438974 atas nama Omar Man atau menghubunginya sendiri menerusi talian 017-9737873. -UTUSAN ONLINE