KANGAR: Sudah mencapai 79 peratus.
Itu angka kapasiti pusat kuarantin dan rawatan bagi pesakit positif Covid-19 di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, bagaimanapun negeri ini masih lagi mampu menampung jumlah pesakit Covid-19 memandangkan kapasiti di Kolej Jururawat Masyarakat Kangar yang digunakan hanya sekitar 26 peratus.
Katanya, pihaknya juga menjangkakan jumlah kes jangkitan tempatan harian akan semakin rendah berdasarkan trend yang dilihat semalam iaitu hanya tiga kes daripada 233 sampel yang diuji.
“Buat masa ini, kita mempunyai baki 165 lagi sampel yang menunggu keputusan. Kami jangka kes positif akan kurang berbanding pada 14 hingga 17 Januari lalu.
“Ini juga mengambil kira sudah tiada lagi orang luar yang datang ke negeri ini setelah rentas negeri dilarang,” katanya ketika ditemui di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini hari ini.
Sejak sekian lama bebas jangkitan kes Covid-19 selain berada di dalam status hijau, Perlis mula menunjukkan peningkatan kes tersebut sejak minggu lalu dengan setakat semalam sebanyak 56 kes aktif direkodkan.
Malah buat pertama kali sejak tercetusnya pandemik Covid-19, kes terkumpul wabak berkenaan di negeri ini mencecah tiga angka iaitu 120 kes.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyediakan bantuan khas kepada rakyat yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula Jumaat ini, beliau memberitahu, pihaknya akan melihat terlebih dahulu kesannya.
“Kita akan lihat sama ada PKP kali ini akan memberi kesan negatif pada rakyat atau tidak. Buat masa ini, kami tidak nampak lagi kerana banyak kelonggaran diberikan pada kali ini termasuk aktiviti meniaga dan pasar pagi.
“Pasar minggu di Simpang Empat, Kuala Perlis dan Arau juga dibenarkan berniaga seperti biasa tetapi perlu mengikut garis panduan yang diperincikan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
“Selain itu, walaupun pasar malam tidak dibenarkan, ia akan digantikan dengan pasar pagi di lokasi yang sama yang juga akan diperincikan kemudian,” katanya.
Tambah beliau, peka dengan musim menuai padi tidak lama lagi, pihaknya juga tiada masalah untuk membenarkan pesawah untuk menuai hasil mereka.
“Hal demikian kerana ia tergolong dalam lima sektor ekonomi perlu iaitu pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran serta perladangan dan komoditi,” katanya. – UTUSAN ONLINE