Kampung Orang Asli Batu 6 dikuatkuasakan PKPD - Utusan Malaysia

Kampung Orang Asli Batu 6 dikuatkuasakan PKPD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di kawasan Kampung Orang Asli Batu 6 di Perak bermula esok.

Penempatan itu menjadi kawasan Orang Asli kedua di negara ini dikenakan PKPD selepas dua perkampungan etnik tersebut di Sungai Lui, Hulu Langat, Selangor pada 30 Mac lalu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lokaliti berkenaan terletak di Jalan Pahang, Daerah Batang Padang melibatkan penduduk seramai 494 orang.

“Ia susulan sejumlah 12 kes positif direkodkan di kawasan itu hasil ujian saringan ke atas penduduk yang bergejala sehingga 18 Januari lalu,” katanya menerusi kenyataan di sini.

Kementerian Kesihatan jelas beliau, melakukan ujian berkenaan sejak 14 Januari lepas dan turut mengesahkan terdapat seramai 87 kontak rapat yang sedang dikuarantin ketika ini.

Katanya, pelaksanaan PKPD terbaharu itu bertujuan bagi mengawal pergerakan penduduk serta memudahkan kementerian melaksanakan saringan secara bersasar.

Ismail Sabri menambah, PKPD di perkampungan berkenaan akan dikuatkuasakan selama dua minggu bermula 21 Januari sehingga 3 Februari depan.

Daerah Batang Padang dianggarkan mempunyai lebih 23,000 individu Orang Asli daripada suku Semai yang mendiami sekitar 10,000 hektar tanah rizab khas milik kerajaan Perak.

Mereka menetap di sejumlah 30 perkampungan yang berbeza dalam kawasan Kuala Woh di bawah pentadbiran Majlis Daerah Tapah serta Pejabat Daerah dan Tanah Batang Padang. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN