'Kami tidak ada baju sekolah baharu' - Anak Orang Asli

‘Kami tidak ada baju sekolah baharu’

KANAK-KANAK Orang Asli menunjukkan baju sekolah lama ketika ditemui di Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai, Pasir Salak, Perak, semalam. – FOTO/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Baju sekolah dua tahun lepas, itu pun sudah lusuh dan koyak.

Hanya itu yang mungkin akan dipakai oleh murid Orang Asli Kampung Redang Punggor, Chenderong Balai dekat sini apabila sesi persekolahan tahun 2021 dibuka nanti.

Ini kerana ibu bapa mereka tidak mampu membeli baju sekolah baharu akibat kesempitan hidup selain tiada pihak yang tampil memberikan sumbangan keperluan persekolahan seperti sebelum ini.

Lebih menyedihkan, difahamkan daripada 56 murid di kampung itu, hanya dua orang sahaja yang menerima bantuan persekolahan untuk sesi 2021 baru-baru ini.

Bagi pelajar tahun enam, Ezla Abdul Rahsid, dia sedih kerana belum mampu membeli baju sekolah baharu, tidak seperti rakan sebayanya di sekolah lain.

“Saya dengar ramai kawan-kawan di sekolah lain yang dapat bantuan pakaian sekolah tapi saya tidak dapat.

“Saya hanya ada baju sekolah dua tahun lepas itu pun sudah koyak dan buruk.

“Ibu bapa saya orang susah, kerja cari buah kelapa sawit, bukan banyak dapat duit. Sebelah petang bapa saya pergi meman­cing, itu pun bukan selalu bawa balik ikan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Tok Batin Razak Ongil berkata, agak menyedihkan apabila hanya dua daripada seramai 56 murid di kampung itu yang terpilih menerima sumbangan keperluan persekolahan baru-baru ini.

“Ramai lagi anak-anak penduduk di kampung ini memerlukan barang keperluan persekolahan tapi hanya dua orang saja yang dapat beg, kasut dan pakaian.

“Apa kata anak-anak dan ibu bapa yang lain, apa saya nak jawab sebagai Tok Batin di kampung ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, keluarga di penduduk di kampung itu kurang berkemampuan dan ada yang terjejas pendapatan disebabkan wabak Covid-19.

Katanya, pendapatan penduduk tidak menentu dengan mengutip buah sawit dan me­ngait buah kelapa sawit selain mencari pendapatan lain seperti memancing ikan di parit.

“Kami bukan ada kebun sen­diri macam orang lain. Keadaan sekarang memang susah dise­babkan Covid-19 dan ekonomi kami bertambah teruk.

“Selepas pilihan raya, tiada pemimpin yang datang melihat keadaan kami di sini. Anak-anak kami boleh pakai baju lama pergi bersekolah tapi jangan hanya tiba masa perlukan kami baru nak turun kampung kami.

“Kenapa Orang Asli dianaktirikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya