TANJUNG MALIM: Kerajaan akan memperkenalkan kaedah pendigitalan bagi menambah baik piawaian halal sesuatu produk di pasaran dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kaedah itu merupakan sebahagian perkara yang dibincangkan dalam prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan halal produk termasuk daging import.
Katanya, langkah tersebut juga diyakini dapat mengelak berlakunya penipuan label halal seperti didakwa berlaku dalam isu kartel daging yang diimport.
“Sudah ada perbincangan isu yang berkait dengan halal dan dalam masa terdekat kita akan melancarkan SOP dan garis panduan halal di samping beberapa tindakan lain yang akan dilihat dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Kuala Slim di sini hari ini.
Mengulas mengenai akta baharu bagi pensijilan halal khusus untuk isu kartel daging, Zulkifli berkata, pihaknya akan melihat keperluan perkara itu terlebih dahulu.
“Saya perlu lihat yang terdahulu apa SOP dan akta yang patut dipinda. Bagaimanapun, penegasan daripada kami adalah melancarkan dalam masa terdekat SOP dan garis panduan halal,” katanya. – UTUSAN ONLINE