JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini kekal seramai 479 orang yang ditempatkan di sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih dibuka setakat pukul 8 pagi, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan berkata, jumlah mangsa di Kota Tinggi, Mersing dan Segamat tidak berubah seperti yang direkodkan sehingga petang semalam.
Jelasnya, Mersing menempatkan seramai 320 mangsa di lima buah PPS yang dibuka manakala Segamat menempatkan 94 mangsa di tiga buah PPS yang dibuka.
“Sementara itu hanya 65 mangsa masih ditempatkan di satu PPS yang masih dibuka di Kota Tinggi setakat pagi ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Vidyananthan, Jabatan Meterologi Malaysia turut menjangkakan hujan lebat akan berterusan di daerah Johor Bahru, Kluang, Kota Tinggi, Kulai dan Mersing hari ini.
“Beberapa daerah lain berada dalam kategori waspada dengan hujan turut dijangka berlaku.
“Dua jalan juga masih lagi ditutup kepada pengguna iaitu Jalan Tanah Abang di Mersing dan Jalan Haji Suhud di Johor Bahru,” katanya. – UTUSAN ONLINE