Jumlah ingkar SOP naik lagi dengan 426 ditahan - Utusan Malaysia

Jumlah ingkar SOP naik lagi dengan 426 ditahan

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jumlah ditahan semalam naik lagi daripada kelmarin iaitu 426 berbanding 413 individu atas pelbagai ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kesemua mereka itu diberkas Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan sebanyak 65,673 pemeriksaan dengan meliputi pelbagai premis di seluruh negara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu sebanyak 404 dikompaun, 21 direman dan seorang dijamin dengan kes tertinggi ialah gagal menyediakan alat rekod butiran iaitu 93.

“Diikuti tiada pelitup muka (88), gagal jarak fizikal (81), rentas kawasan tanpa izin (40), premis dibuka lebih masa (24), makan di premis (20), buat majlis tanpa kebenaran (6) dan lain-lain (74),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sejumlah 2,957 pasukan yang meliputi 13,091 anggota semalam memantau 5,043 restoran, 3,880 pasar raya, 3,311 bank, 1,834 penjaja, 1,517 kilang dan 669 pejabat kerajaan.

Turut dipantau di seluruh negara ujar beliau, ialah sebanyak 971 terminal pengangkutan darat selain 234 terminal pengangkutan air dan 71 terminal pengangkutan udara.

Seramai 23 pendatang asing tanpa izin juga ditahan melalui Operasi Benteng yang meliputi pelbagai agensi bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan menyekat penularan Covid-19.

“Lima kenderaan darat dan dua bot dirampas, manakala 538 sekatan jalan raya dibuat selain operasi itu mengesan 164 bot atau kapal asing berdekatan perairan negara,” jelasnya.

Ismail Sabri juga memaklumkan sejumlah 92 operasi sanitasi awam meliputi 40 zon merah, tiga zon jingga, 10 zon kuning dan satu zon hijau dilakukan di seluruh negara semalam.

Ia ujar beliau, melibatkan seramai 565 anggota bomba, 190 anggota pihak berkuasa tempatan dan 28 lagi dari pelbagai agensi dengan penggunaan sejumlah 115 buah jentera bomba.

Menyentuh kuarantin wajib, seramai 931 individu tiba di tanah air dengan kesemuanya diarahkan untuk menjalani proses itu di sejumlah 28 stesen kuarantin semalam.

“Sejumlah 112,941 individu pulang ke negara ini sejak 24 April lalu melalui kuarantin wajib di 76 buah hotel serta 13 institusi latihan awam dan swasta seluruh negara,” kata beliau.

Sementara itu, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) turut memeriksa 19 tapak binaan di seluruh negara dengan kesemuanya beroperasi mematuhi SOP ditetapkan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pula semalam membuat pemantauan 11 jenis bekalan barang di 546 peruncit, 158 pemborong dan 24 pengilang.

Penguat kuasa kementerian itu ujar beliau, melakukan 1,656 pemeriksaan khas pematuhan SOP dengan 22 daripadanya diberikan nasihat manakala dua lagi premis dikompaun. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN