KULAI: Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) diminta menyelenggara pokok-pokok yang berada di tepi jalan khususnya melibatkan Kilometer 31 Jalan Johor Bahru-Air Hitam, dekat sini.
Ketua Biro Kempen Masyarakat Sivik MCA Johor, Chua Jian Boon berkata, keadaan semasa banyak memberi kesukaran kepada pemandu ketika berada di kawasan berkenaan.
Katanya, antara masalah dihadapi termasuklah tidak dapat melihat jalan dengan jelas khususnya pada waktu malam.
“Situasi diburukkan lagi dengan jalan yang curam menyebabkan kemalangan sering berlaku sehingga kawasan ini menjadi kawasan hitam bagi kemalangan jalan raya.
“Banyak kemalangan kerap berlaku di kawasan berkenaan dan sepanjang Disember sahaja, sekurang-kurangnya tiga kemalangan maut telah dilaporkan,” katanya dalam satu sidang akhbar yang diadakan di sini hari ini.
Sehubungan itu, pihaknya menyarankan beberapa langkah yang boleh diambil pihak berwajib bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan berkenaan sekali gus mengurangkan risiko kemalangan.
“Cadangan itu termasuklah menambah garis amaran pengurangan kelajuan, memasang lampu amaran di sepanjang jalan kawasan terlibat dan memasang pagar jalan raya.
“Saya berharap perkara ini akan mendapat perhatian pihak berkuasa dan cadangan tersebut akan dipertimbangkan untuk kebaikan bersama, khususnya pengguna jalan raya di kawasan berkenaan,” ujarnya.
Dalam masa sama, pihaknya turut memuji inisiatif dibuat Pasukan Bomba dan Keselamatan Sukarela Kulai Besar yang telah menjalankan kerja-kerja pemotongan dahan-dahan pokok di jalan terbabit.
“Inisiatif itu diambil pihak berkenaan sehari selepas berlaku kemalangan maut. Ini bagi membolehkan pemandu melihat arah jalan dengan lebih jelas,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE
CAPTION
CHUA Jian Boon (duduk tengah) mengadakan sidang akhbar memohon JKR dan MPKu menyelenggara pokok di laluan berbahaya. – UTUSAN ONLINE