MELAKA: Kedua-dua anak pasangan suami isteri yang kini ditahan bagi membantu siasatan kes kematian kanak-kanak lelaki dipercayai akibat didera di Taman Krubong Jaya, di sini Jumaat lalu kini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Adik-beradik yang masing-masing berusia dua dan empat tahun itu telah diambil di rumah nenek mereka di Simpang Bekoh, Jasin semalam (Ahad).
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Latipah Omar berkata, tindakan itu susulan mendapati nenek mereka tidak mempunyai keupayaan untuk menjaga kedua-dua cucunya.
“Kita dapati nenek mangsa telah berusia, selain sebenarnya turut menjaga kakak sulung mereka yang berusia sembilan tahun.
“Jadi pihak JKM telah mengambil kedua-dua anak tersebut dan akan membuat permohonan di Mahkamah Ayer Keroh pada Isnin ini (esok) bagi penjagaan hak sementara untuk menempatkan dua kanak-kanak itu di rumah kebajikan agar mereka tidak terabai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun yang hadir melawat keluarga angkat kanak-kanak lelaki itu di Inap Desa Sungai Putat, Batu Berendam di sini.
Tambahnya, permohonan hak penjagaan sementara itu dibuat di bawah Seksyen 17 (1) (J) Akta Kanak-kanak 2001.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning berkata, kedua beradik itu berada dalam keadaan baik, namun mereka tetap akan di bawa ke Hospital Melaka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.
“Pada masa sama JKM juga akan memberikan perkhidmatan kaunseling kepada keluarga angkat mangsa yang masih bersedih memandangkan mereka sekeluarga telah menjaganya sejak berusia dua bulan lagi,” katanya. – UTUSAN