Jeritan alih kereta bantu jiran - Utusan Malaysia

Jeritan alih kereta bantu jiran

AYOB Kassim melihat tanah runtuh di hadapan rumahnya di Jalan Bukit Kempas 1/4 yang mengundang bahaya di Taman Bukit Kempas, Johor. - UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jeritan seorang penduduk mengejutkan jiran-jirannya seawal pagi agar mengalihkan kereta masing-masing berjaya menyelamatkan beberapa kenderaan itu daripada mengalami kerosakan teruk.

Babak cemas itu dihadapi Ayob Kassim, 68, yang tinggal di Taman Bukit Kempas, di sini selepas berlaku kejadian tanah runtuh di hadapan rumah mereka kira-kira pukul 6.30 pagi, semalam.

Ujar Ayob, dia sudah bangun untuk bersiap-siap menunaikan solat Subuh sebelum terdengar bunyi desiran air di hadapan rumahnya dan keluar meninjau untuk mencari punca.

“Ketika saya terdengar bunyi itu, bukit di hadapan rumah belum runtuh lagi tetapi tidak lama kemudian berlaku dentuman yang kuat dan melihat tanah mula runtuh.

“Saya terus menjerit kepada jiran-jiran supaya mengalihkan kenderaan masing-masing sebelum dihempap oleh tanah runtuh,” katanya ketika ditemui di Taman Bukit Kempas, di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rohaizat Bahrom, 64, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga juga sedang bersiap untuk mengerjakan solat Subuh.

Mereka juga terdengar bunyi dentuman di hadapan rumah sebelum keadaan bertambah cemas ketika tanah mulai runtuh.

Dalam insiden itu, seramai 42 orang yang menetap di 12 buah kediaman di situ diarahkan untuk mengosongkan kediaman mereka selepas berlaku kejadian tanah runtuh di kawasan berhampiran.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Larkin, Timbalan Penguasa Bomba I, Suhaimi Jamal berkata, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan paip air tangki milik Ranhill SAJ Sdn. Bhd. pecah.

“Pemeriksaan dibuat mendapati paip air bersaiz lebih kurang 8 inci pecah di atas tebing berdekatan Jalan Bukit Kempas 1/4. Sehubungan itu, bomba terpaksa mengarahkan rumah berhampiran dengan tanah runtuh untuk dikosongkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Kerja-kerja pembersihan kini sedang dilakukan pihak Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Ranhill SAJ serta beberapa agensi lain.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya