ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor mengingatkan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri (GLC) khususnya Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) supaya tidak lagi membuat kenyataan yang menyentuh kerajaan negeri.
Katanya, syarikat tersebut tidak sepatutnya masuk campur dalam hal berkenaan ketika sebarang perundingan berkaitan isu-isu berbangkit, akan melibatkan kerajaan kedua-dua negeri dan bukannya GLC.
“Kedah adalah kerajaan berdaulat, kedaulatan kerajaan Kedah ini meliputi kerajaan yang sah, undang-undang yang perlu dipatuhi, sempadan negeri dihormati serta rakyat yang dilindungi.
“Tak boleh mana-mana syarikat perniagaan seperti PBAPP campur tangan mengenai urusan wilayah, tanah, air, hutan dan sungai dalam negeri ini.
“Saya nak beri peringatan khususnya individu yang suka bercakap dalam syarikat itu supaya tidak menyentuh mengenai kepentingan dan kedaulatan Kedah termasuk berkaitan tadahan hujan di mana-mana wilayah negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.
Katanya, Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) memperincikan maklumat lengkap mengenai kebergantungan Pulau Pinang terhadap sumber air Kedah, bagi membantu usaha kerajaan negeri Kedah mendapatkan bayaran caj air mentah yang diekstrak Pulau Pinang.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima taklimat LSANK mengenai perkara itu yang turut merangkumi perkara yang berkaitan dengan sejarah dan perjanjian melibatkan kedua-dua pihak dalam isu berkenaan.
“Maklumat ini akan terus kita perhalusi dan kaji bagi mengenal pasti proses yang boleh diambil. Antara yang kita perhalusi adalah, walaupun Pulau Pinang kata dia ada hak riparian yang membenarkan dia ambil air yang mengalir secara semula jadi, namun sebenarnya aliran sungai itu pernah diubah.
“Sejarah itu sedang saya baca dan perinciannya, insya-Allah saya maklumkan minggu depan. Malah sebenarnya air yang mengalir di Sungai Perai itu juga, asalnya dari Kulim, Kedah,” katanya. – UTUSAN ONLINE