Jangan cuba jadi batu api - Pemuda Pas Kedah - Utusan Malaysia

Jangan cuba jadi batu api – Pemuda Pas Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Tindakan pihak tertentu yang cuba berpolitik secara cauvinis dan mengamalkan perkauman sempit berhubung isu cuti Thaipusam di negeri ini merupakan sesuatu yang bahaya buat masyarakat keseluruhan.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Abdul Hadi Omar berkata, ketika ini terdapat pihak tertentu yang cuba menjadi batu api bagi menyemarakkan kebencian terhadap Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor dan kerajaan negeri.

“Apabila kebencian disemai, maka perkauman sempit atau chauvinisme adalah senjata paling ampuh untuk menyatukan suara menghentam musuh. Inilah yang berlaku terhadap Menteri Besar dan kerajaan negeri sekarang.

“Ini merupakan tindakan batu api yang bahaya untuk sosial. Justeru Pemuda Pas Kedah menyelar tindakan mana-mana pihak yang cuba berpolitik secara cauvinis selain memainkan isu perkauman sempit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Pada Rabu lalu, Muhammad Sanusi mengumumkan kerajaan negeri memutuskan untuk tidak mengisytiharkan sambutan Thaipusam pada 28 Januari ini sebagai cuti peristiwa.

Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan mendakwa keputusan itu sebagai berat sebelah selain menunjukkan keangkuhan kerajaan negeri.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) Kedah, Azrol Mansor pula berkata, keputusan kerajaan negeri tidak mengisytiharkan hari Thaipusam sebagai cuti peristiwa adalah tepat bersandarkan keadaan semasa melibatkan penularan kes Covid-19 ketika ini.

Sehubungan itu, menurutnya, pihaknya menyokong penuh langkah tersebut kerana yakin kerajaan negeri telah mengambil kira pelbagai faktor sebelum membuat keputusan itu.

“Kami nyatakan sokongan ini kerana dalam masa sekarang, hampir semua negeri berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan Covid-19.

“Dalam keadaan negara ini berdepan pandemik Covid-19, segala bentuk perayaan haruslah ditangguhkan buat sementara waktu bagi meredakan peningkatan kes,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN