Isteri bekas ADUN didenda RM15,000 palsu dokumen - Utusan Malaysia

Isteri bekas ADUN didenda RM15,000 palsu dokumen

SEORANG pengusaha homestay dibawa ke Mahkamah Sesyen Kangar, Perlis oleh pihak SPRM berkenaan kes tuntutan palsu di sini hari ini.- UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Gara-gara mahu untung RM2,100 , isteri kepada seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memalsukan dokumen invois cukai.

Tertuduh, Maryati Hassan, 61, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim, Datuk Ibrahim Osman.

Mengikut kertas pertuduhan, Maryati seorang pemilik inap desa di Bukit Keteri menggunakan satu dokumen berupa invois cukai sebuah hotel di Kangar bernilai RM10,000 yang ketahui sebagai dokumen palsu.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di hotel terbabit yang terletak di Persiaran Jubli Emas, Kangar pada 30 Mei 2016.

Berdasarkan fakta kes, Dewan Usahawan Industri Desa Malaysia (DUIDM) telah memperuntukan sejumlah RM10,000 untuk Program Azam Bandar 2016 di hotel tersebut.

Bagaimanapun, program tersebut sebenarnya telah dillakukan di hotel itu pada jumlah RM7,935 sahaja.

Tertuduh yang merupakan penganjur program terbabit mengemukakan satu invois cukai hotel itu yang bernilai RM10,000 kepada DUIDM sebagai tuntutan perkhidmatan menyediakan pakej bilik seminar dan penginapan bagi tarikh 28 hingga 30 Mei 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Salizawaty Abd Samad manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Azira Aziz.

Setelah meneliti pengakuan tertuduh, Ibrahim menjatuhkan hukuman terbabit dan memerintahkan tertuduh dipenjarakan enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN