Ingkar PKP, warga Bangladesh kena denda RM500 - Utusan Malaysia

Ingkar PKP, warga Bangladesh kena denda RM500

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh didenda RM500 oleh Mahkamah Majistret di sini ekoran ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini selepas dia keluar bertemu rakannya yang berada dalam kawasan tempat jangkitan.

Majistret M.Barath mengenakan denda RM500 atau penjara sehari terhadap Shahabuddin, 32, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut. Denda itu dijelaskan.

Shahabuddin, 32, mengaku bergerak dari satu tempat ke tempat lain iaitu dari Jalan Teknologi 3/6, Kota Damansara di sini ke Plaza Tol Kota Damansara yang merupakan kawasan tempat jangkitan.

Kesalahan itu dilakukan di Plaza Tol Kota Damansara di sini pukul 2.10 petang, 13 Januari lalu iaitu pada hari pertama pelaksanaan PKP.

Fakta kes menyebut, pada hari kejadian, buruh binaan itu yang memandu kereta jenis Toyota Unser seorang diri telah ditahan sepasukan polis ketika melalui sekatan jalan raya di Plaza Tol Kota Damansara.

Ketika kejadian, tertuduh yang sedang bercuti sedang dalam perjalanan untuk berjumpa rakannya di Kelana Jaya sebelum ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang surat kebenaran untuk bertugas.

Bagi kesalahan itu, Shahabuddin didapati melanggar Peraturan 4 (1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawasan Pergerakan) 2021 yang boleh dihukum dibawah Peraturan 16(1) peraturan sama.

Hukuman bagi pertuduhan itu memperuntukkan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, peguam Kenny Tan Cheng Yee yang mewakili Shahabuddin memohon mahkamah mengenakan denda minimum atas alasan kesalahan itu yang pertama dilakukannya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran terhadap tertuduh agar tidak melakukan perbuatan yang sama. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya