Infak RM100 bantu aktiviti keganasan, dua dipenjara dua tahun - Utusan Malaysia

Infak RM100 bantu aktiviti keganasan, dua dipenjara dua tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Dua rakan sekampung masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini terhadap kesalahan memberi bantuan kewangan RM100 bagi tujuan melakukan aktiviti keganasan di Indonesia, hampir tiga tahun lalu.

Fakta kes menyatakan, bantuan kewangan tersebut disalurkan kepada pengganas di negara itu sebagai dana bagi menghasilkan senjata api buatan sendiri yang akan digunakan untuk menyerang penjara bagi membebaskan tahanan pengganas di Jakarta.

Muhammad Syazani Mahzan (penjual burger) dan Muhamad Nuurul Amin Azizan (petani) malah berkunjung ke Indonesia untuk mempelajari cara-cara membuat bahan letupan.

Kedua-duanya yang berusia 29 tahun mengaku bersalah di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin yang kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua tahun berkuatkuasa dari tarikh mereka ditangkap pada 14 Mei 2019.

Mereka mengaku terhadap pertuduhan pilihan mengendalikan secara tidak langsung harta pengganas iaitu dengan cara memberi bantuan kewangan RM100 (setiap seorang) kepada warga Indonesia, Fatoni Amin Tohari.

Wang itu diserahkan kepada seorang rakyat tempatan, Mohd Izham Razani untuk disalurkan ke dalam akaun Bank Rakyat Indonesia milik Agus Riyadi bagi tujuan melakukan aktiviti keganasan. 

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di BFC Exchange Malaysia Sdn Bhd yang beralamat di Jalan Kampung Baru, Sungai Petani, Kedah, kira-kira pukul 4.29 petang pada 6 Mac 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 130Q Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana harta tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izhanudin Alias dan Mohd. Farhan Aliff Ahmad. Tertuduh-tertuduh diwakili oleh peguam Tan Teck Yew.

Menurut fakta kes, siasatan polis mendapati kedua-dua tertuduh telah berhubung dengan lelaki Indonesia bernama Agus Melasi Alm Ridwan atau dikenali sebagai ‘Abad Kawa’ melalui aplikasi
‘Telegram’ sekitar bulan Februari 2018 dan Abad Kawa telah merekrut mereka untuk berjihad serta menyertai kumpulan pengganas Daesh.

Abad Kawa telah menghantar melalui Telegram kepada Muhammad Syazani cara-cara pembuatan bom yang diperolehi melalui sebuah buku tutorial ‘Kursus Peledakkan’ tulisan Abu Khabbab al-
Misri dalam format PDF.

Muhammad Syazani serta Mohd Izham kemudian telah membuat dan menguji bom tersebut iaitu Improvised Explosive Device (IED) jenis Triacetone Triperoxide (TATP) sehingga membuahkan hasil.

Sekitar Mac 2018, Abad Kawa telah meminta bantuan kewangan daripada Muhammad Syazani dan Mohd Izham untuk memberikan dana kepada Fatoni atau dikenali sebagai ‘Abu Tony’ kerana Abu
Tony memerlukan dana untuk membuat senjata api buatan sendiri yang akan digunakan untuk menyerang penjara bagi membebaskan tahanan pengganas di Jakarta.

Pada 6 Mac 2018, tertuduh telah bersetuju untuk mengutip wang sebanyak RM100 setiap seorang untuk disumbangkan kepada Abu Tony.

Melalui rakaman percakapan di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, mereka telah mengaku berkongsi memberi dana tersebut sebagai infak kepada Abu Tony.

Menurut siasatan, Abu Tony telah ditangkap pada 19 Jun 2018 kerana menerima dana sebanyak satu juta rupiah untuk membantu kesemua tertuduh yang juga ahli kumpulan Telegram Jihad Nyata
untuk membuat senjata jenis pistol. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN