KUALA TERENGGANU: Individu dari zon merah menjadi penyumbang tertinggi kes positif Covid-19 di Terengganu iaitu sebanyak 73.6 peratus daripada keseluruhan 216 kes yang direkodkan sejak 7 Disember tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, peningkatan kes itu dikesan hasil saringan secara sukarela yang dilakukan oleh golongan tersebut yang memasuki negeri ini.
Katanya, keadaan itu amat membimbangkan kerana dua angka positif Covid-19 pernah direkodkan dalam sehari selepas kebenaran merentas negeri diumumkan pada awal Disember 2020.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri mengaktifkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pertama di Terengganu iaitu di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (Kejururawatan) (ILKKM) di sini yang mula dibuka sejak semalam.
“Sehingga kini, seramai enam orang ditempatkan di ILKKM membabitkan pesakit Covid-19 berisiko rendah di bawah pengoperasian Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ),” katanya dalam sidang akhbar sempena pembukaan PKRC ILKKM hari ini.
Yang hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Nor Azimi Yunus.
Menurut Alias, pembukaan PKRC itu merupakan langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi isu peningkatan kes di negeri ini dengan keutamaan kepada golongan yang positif dan berisiko rendah seperti tiada penyakit kronik dan sebagainya.
Katanya, ILKKM mampu menampung sebanyak 150 katil, bagaimanapun bagi fasa pertama sebanyak 58 katil disediakan dan selebihnya akan dibuka secara berperingkat.
Selain ILKKM, dua lokasi lain yang turut diwartakan sebagai PKRC ialah di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN), Marang dan di Penjara Marang.
Sehingga semalam, kes positif Covid-19 di Terengganu mencecah sebanyak 455 kes dengan 112 kes sedang dirawat di HSNZ dan Hospital Hulu Terengganu. -UTUSAN ONLINE