PUTRAJAYA: Walaupun masih baharu, perkongsian data wabak, Indeks Covid-19 Global (GCI) dibangunkan Pemandu Associates Sdn. Bhd. mula diterima di seluruh dunia.
Apa yang menarik, menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Idris Jala, portal indeks itu juga membuktikan kejayaan negara dalam pengurusan maklumat statistik penting sejagat.
“Biarpun dianggap agak muda, GCI turut diiktiraf oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana perangkaan yang dilaporkan itu lebih telus dan melibatkan 180 buah negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi webinar anjuran Kementerian Alam Sekitar dan Air dengan kerjasama Kelab Alumni Sekolah Perniagaan Harvard Malaysia dibuat secara maya hari ini.
Program bual bicara tersebut bertajuk ‘Senario Penetapan Semula Bisnes Bersama Covid-19’ dengan perantaranya, Ketua Setiausaha kementerian tersebut, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang.
Mengulas lanjut, Idris berkata, GCI turut berkolaborasi dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi selain ditaja Sunway University serta beberapa lagi korporat gergasi tempatan.
“Indeks ini tidak sekadar memaparkan data perbandingan semasa, malah membantu pihak kerajaan mana-mana negara untuk jelas memahami senario Covid-19 lebih tuntas,” katanya.
Uniknya, rekod terkini GCI itu menunjukkan Malaysia di kedudukan ke-55 yang disifatkan Idris sebagai tidak terlalu baik, namun bukan juga terlalu teruk berbanding banyak negara maju.
Beliau memberi misalan Amerika Syarikat (AS) dan Britain sendiri lebih buruk di tangga lebih 100 ke atas yang menyerlahkan gambaran senario teruk pandemik Covid-19 di dua negara kuasa besar itu.
Pemandu ujarnya, turut melakukan kajian khas ke atas 20 negara yang berjaya menguruskan wabak itu dan antara rumusannya ialah kestabilan politik pentadbiran kerajaan memerintah.
“Kerajaan lemah dengan mandat rapuh, terbukti kurang efektif dalam menangani pandemik contohnya era Presiden Donald Trump, sistem kesihatan awam AS agak huru-hara,” katanya.
Idris juga merujuk negara rantau Skandinavia dengan kadar hutang hampir sifar berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dianggap terbaik dalam isu pengurusan wabak.
Rakyat di negara terbabit turut kekal berdisiplin dengan pantas menyesuaikan gaya hidup norma baharu dalam rutin harian kerana mereka sedar vaksin terbaik ialah tingkah laku kendiri.
Dalam pada itu, seorang lagi panel, Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam, Tan Sri Dr. Jemilah Mahmood, sependapat isu Covid-19 telah mengubah hidup manusia.
“Ekonomi terpaksa lebih digital malah sistem persekolahan perlu secara maya kerana isu ini mengambil masa sehingga bertahun-tahun ditangani walaupun sudah ada vaksin,” tegasnya.
Beliau namun optimis, 85 peratus rakyat negara ini bakal menerima imunisasi dirancang pihak kerajaan menjelang akhir tahun sejurus bekalan peringkat pertama tiba pada bulan depan. -UTUSAN ONLINE