BUTTERWORTH: “Seronok dapat naik kereta polis, cita-cita saya nak jadi polis, nak tangkap orang jahat.”
Demikian kata Mohamad Ammar Dhani Mohd. Azuan, 7, kanak-kanak leukemia yang setiap hari meluahkan hasrat untuk merasai pengalaman menaiki kereta peronda polis (MPV).
Malah kanak-kanak pesakit leukemia tahap empat itu juga terlalu mengagumi kerjaya polis sehinggakan bercita-cita mahu menjadi anggota pasukan beruniform itu suatu hari nanti.
Mohamad Ammar Dhani bertuah apabila kecintaannya terhadap kerjaya polis itu sampai ke pengetahuan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor melalui seorang anggotanya, lalu membuat kejutan kepada kanak-kanak berkenaan.
Noorzainy memberi peluang yang sudah lama diidamkan Mohamad Ammar Dhani dengan membawanya menaiki MPV jenis Honda Civic sambil diriba di tempat duduk penumpang hadapan meronda di sekitar Ibu pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di sini hari ini.
Mohamad Ammar Dhani yang menghidap penyakit itu sejak berusia dua tahun berkata, dia gembira kerana berpeluang mencapai impiannya itu.
Sementara itu Noorzainy berkata, pihaknya berbesar hati menunaikan impian kanak-kanak itu selepas dimaklumkan dia sering menyuarakan hasrat tersebut kepada ibunya. – UTUSAN ONLINE