PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menegaskan dirinya hanyalah ‘penyampai’ bagi Kementerian Kesihatan, bukannya penentu setiap keputusan.
Beliau berkata, pihaknya mempunyai beribu-ribu staf kerajaan di Kementerian Kesihatan adalah organisasi yang besar, ada makmal dari Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), kesihatan awam, klinik dan hospital.
“Saya mahu ingatkan, ‘I am only a messenger’ (saya hanyalah penyampai) dan seramai 150 orang bekerja belakang tabir. Kami bekerja sebagai satu pasukan, bertemu setiap hari dan selesaikan isu yang timbul bersama-sama.
“Orang mengatakan saya seorang yang buat keputusan malah kadang kala mereka menuduh saya angkuh dan macam-macam lagi,” katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab sempena Taklimat Media Darurat Covid-19 KKM secara maya oleh Ketua Pengarah Kesihatan di sini hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, sekiranya ada pihak memberinya kredit, ia untuk kementerian, bukan dirinya seorang.
“Pandangan atau cadangan yang saya sampaikan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan masyarakat adalah daripada Kementerian Kesihatan.
“Bayangkan, saya perlu ‘hadam’ semua maklumat dan dalam tempoh yang singkat, maklumat terbabit perlu dipermudahkan untuk pemahaman kepada semua.,” katanya. – UTUSAN ONLINE