DUNGUN: Sebanyak lapan kawasan di Hulu Dungun terputus bekalan elektrik dan hubungan komunikasi selepas pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) menutup sementara bekalan di beberapa pencawang di lokasi tersebut, tengah hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dungun, Anuar Awang berkata, langkah itu terpaksa diambil berikutan paras air di kawasan pencawang yang semakin tinggi dan membahayakan keselamatan orang awam.
Katanya, pusat pemindahan sementara (PPS) yang terjejas dengan penutupan sementara bekalan elektrik itu ialah di Dewan Orang ramai Kampung Minda, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Jengai, Balai Serbaguna Kampung Rantau Panjang, Balairaya Kampung Talong, Surau Kampung Surau, Sekolah Kebangsaan (SK) Minda Talong, Dewan Orang Ramai Tepus dan Bukit Sodek.
“Buat sementara waktu kita terpaksa menggunakan generator manakala untuk berkomunikasi kita menggunakan radio amatur.
“Insya-Allah selepas banjir surut, bekalan elektrik akan kembali disambung,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anuar berkata, bekalan makanan untuk penduduk yang terjejas banjir di kawasan Hulu Dungun mencukupi kerana stok sudah dihantar.
Di samping itu, katanya, khidmat tentera dari Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Padang Midin turut digunakan bagi menghantar bekalan makanan berikutan beberapa laluan yang terputus hubungan kerana dinaiki air.
Katanya, setakat pukul 6 petang ini, seramai 1,201 mangsa banjir daripada 347 keluarga ditempatkan di 14 PPS di daerah tersebut.- UTUSAN ONLINE