JOHOR BAHRU – Kerajaan persekutuan digesa mengemukakan cadangan pembangunan infrastruktur pengangkutan yang baharu bagi menggantikan Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang dibatalkan.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Johor dalam satu kenyataan bersama berkata, projek baharu itu perlu dilakukan segera dalam usaha memacu pertumbuhan ekonomi negeri ini selain berupaya meningkatkan kesalinghubungan serantau.
“Barisan pembangkang Johor akan mengemuka cadangan pembangunan jaringan infrakstruktur pengangkutan di kawasan yang terlibat kepada Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dalam masa terdekat demi kesejahteraan Bangsa Johor.
“Johor menjadi penyumbang keempat dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan dengan nilai RM134 bilion bagi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Namun begitu, jaringan infrastruktur pengangkutan tidak menterjemahkan sumbangan pacuan ekonomi berkenaan,” katanya dalam kenyataan tersebut yang dikeluarkan di sini hari ini.
Kenyataan tersebut mewakili ADUN Skudai, Tan Hong Pin; ADUN Mengkibol, Chew Chong Sin; ADUN Pekan Nenas, Yeo Tung Siong; ADUN Bentayan, Ng Yak Howe danm ADUN Penggaram, Gan Peck Cheng.
Pembatalan HSR disahkan Kementerian Pengangkutan Singapura dalam satu kenyataan hari ini dan susulan itu Malaysia perlu membayar pampasan kepada republik itu atas pembiayaan yang ditanggungnya sebagai sebahagian daripada kewajiban berdasarkan perjanjian dua hala.
HSR merupakan projek mega yang sudah ditandatangani memorandum persefahamannya, sebelum ini dijangka siap dan beroperasi selepas 2026.
Kenyataan secara bersama itu menambah, kelemahan jaringan sistem pengangkutan di negeri ini sebelum ini ditekankan serta menjadi teras kerajaan negeri melalui Pelan Pembangunan Mampan Johor (PPMJ) 2030 yang memangkin pembangunan ekonomi berdaya tahan.
Pada masa sama, katanya, ia dilihat dapat memberi limpahan kemakmuran kepada Johor dalam tempoh 10 tahun mendatang.
“Koridor pantai barat yang merangkumkan Johor Bahru, Pontian, Batu Pahat dan Muar memainkan peranan penting dalam pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Johor.
“Walau bagaimanapun, infrastruktur pengangkutan yang terkebelakang di kawasan tersebut secara tidak langsung merencatkan usaha mengembangkan perusahaan kecil dan sederhana (IKS),” katanya.
Tambahnya, jaringan infrastruktur pengangkutan negeri ini perlu disegerakan bagi memenuhi keperluan pertumbuhan ekonomi. -UTUSAN ONLINE