JOHOR BAHRU – Malaysia dan Johor khususnya hilang peluang untuk melonjakkan pembangunan ekonomi apabila Projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Malaysia-Singapura dibatalkan.
Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, projek HSR ini sangat dialu-alukan khususnya di negeri ini kerana membuka peluang kepada kerajaan negeri untuk menjadi penyumbang ekonomi utama kepada negara.
Katanya, kawasan bandar di sepanjang jajaran projek tersebut termasuk kawasan di Barat Johor mampu untuk diterokai dan dimajukan serta meletakkan Johor sebagai negeri yang memainkan peranan besar dalam pertumbuhan dan kemajuan negara.
“Saya merasakan kita rugi (HSR dibatalkan) dari segi jangka masa panjang dan pembatalan ini melambatkan proses pembangunan. Kerajaan mungkin ada sebab asasnya dan kerajaan wajar kongsikan kepada rakyat untuk kita tahu.
“Kalau pun ada masalah, pada pandangan saya is sepatutnya ditangguhkan dan bukan dibatalkan. Kita bercakap mengenai soal perlu ada integrasi ekonomi antara negara dalam rantau ASEAN, dan ini adalah satu cara yang terbaik.
“HSR ini memungkinkan kita membangunkan potensi penggunaan Selat Melaka, suatu yg kita tidak terokai namun kita hilang peluang itu. Apatah lagi apabila berdepan wabak Covid-19, kita perlu fikir apa yang boleh melonjakkan pembangunan ekonomi,” katanya kepada pemberita.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembatalan projek HSR selepas beliau merasmikan Mesyuarat Persidangan Wanita UMNO bahagian Pasir Gudang, di sini hari ini.
Mohamed Khaled memberitahu, projek HSR itu merupakan projek yan dicapai antara kedua-dua negara semasa Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri dan beliau masih bergelar Menteri Besar Johor.
Jelasnya, pembatalan projek tersebut adalah satu kerugian kerana sampai ke hari ini kerajaan tidak mempunyai perancangan dan rencana yang besar yang boleh melonjakkan ekonomi lebih-lebih lagi selepas melalui pandemik hari ini.
Tambahnya, kerajaan perlu menari pendekatan lain memandangkan kawasan seperti di Lembah Klang sudah tepu dan tidak berpeluang dan berpotensi untuk menyumbang kepada pertumbuhan dan kemajuan ekonomi dengan lebih besar.
“Kita dalam era perhubungan perjalanan yang cepat, segera dan sememangnya tidak boleh lari daripada itu. Justeru, pengangkutan melalui rel adalah satu yang patut dilakukan secara besar-besaran.
“Bercakap soal bagaimana nak pertingkatkan pembangunan dan kemajuan negara, (HSR) ini peluang dan ruang membantu ke arah itu. Adanya HSR, kita boleh dapatkan segala bakat, idea, modal yang ada di Singapura selain memudahkan pergerakan lebih lagi zaman memang menggalakkan perjalanan melalui rel.
“HSR ini adalah pemangkin untuk mendapatkan segala kekuatan dan potensi di negara jiran. Jika sekadar hanya di Johor Bahru, kita terputus dengan modal, kepakaran, idea, perkhidmatan sokongan dan institusi kewangan di Singapura,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE