ALOR SETAR: Selepas Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, tiga lagi hospital di negeri ini dijadikan pusat rawatan dan kuarantin bagi menampung pertambahan pesakit Covid-19.
Hospital tersebut adalah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani, Hospital Kuala Nerang serta Hospital Kulim.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Osman berkata, pada masa ini terdapat 110 individu positif wabak itu menjalani pengasingan di rumah masing-masing.
“Sebelum ini kita hanya ada satu hospital yang menempatkan pesakit Covid-19 iaitu Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, namun bermula minggu ini kita telah menempatkan pesakit di ketiga-tiga hospital itu juga,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hayati, 110 individu positif itu terdiri daripada pesakit positif Covid-19 tahap satu yang dipakaikan gelang merah jambu dengan Kementerian Kesihatan melakukan pemantauan setiap hari.
Jelasnya, maklumat diterimanya menyatakan kapasiti wad pesakit Covid-19 di HSB kini pada tahap 72 peratus penuh manakala unit rawatan rapi (ICU) 89 peratus.
“Di HSAH kita mampu menempatkan 200 pesakit Covid-19 pada satu masa dan pada masa ini terdapat 63 pesakit di situ. Di Kulim pula, kita mampu menempatkan 300 individu namun pada masa ini cuma ada 33 pesakit.
“Di Hospital Kuala Nerang ketika ini terdapat kurang 30 pesakit dan kapasiti pula adalah 72 individu,” katanya.
Mohd. Hayati berkata, beliau juga tidak menolak kemungkinan jumlah pesakit termasuk mereka yang menjalani pengasingan di rumah bertambah dalam masa terdekat berdasarkan kepada penilaian trend semasa.
“Insya-Allah kita mampu menangani semua itu dengan mereka yang menjalani pengasingan di rumah juga sentiasa dipantau rapi,” katanya. – UTUSAN ONLINE