Hormat perlembagaan UMNO - Ahmad Maslan - Utusan Malaysia

Hormat perlembagaan UMNO – Ahmad Maslan

AHMAD Maslan (kiri) menyampaikan sumbangan Ziarah Kasih Covid-19 di Kampung Parit Makuaseng, Benut di Pontian, Johor. -UTUSAN/MUHAMMAD ZIKRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Institusi UMNO perlu terus dihormati oleh kesemua 1.6 juta orang ahlinya dan mereka mesti menggunakan saluran yang betul menerusi pemilihan parti sekiranya mahukan penukaran seseorang pemimpin.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan, walaupun ada gesaan daripada tiga ketua pemuda dan seorang ketua UMNO bahagian yang mahukan presiden parti berundur, ia tidak mewakili suara majoriti.

Katanya, perkara tersebut juga tidak dibangkitkan semasa Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 hingga 3 Januari lalu, sebaliknya meminta Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terus memimpin parti.

Menurut beliau, jawatan Presiden UMNO merupakan jawatan yang dipilih oleh para perwakilan UMNO yang bersidang pada 2018 dan bukan satu jawatan yang dilantik seperti jawatan yang lain.

“Walaupun mereka yang meminta (Datuk Seri) Ahmad Zahid berehat merupakan suara kumpulan minoriti tetapi kami tetap menanggapnya serius kerana tidak mahu institusi UMNO terus diperlakukan sedemikian.

“Kita mempunyai peraturan serta perlembagaan parti yang dijadikan panduan sejak sekian lama yang sewajarnya tidak mudah dicabuli disebabkan berbeza pandangan dan pendapat,” katanya  selepas mengadakan program Ziarah Kasih Covid-19  di Kampung  Parit Makuaseng Benut, di sini, hari ini.

Selepas Ketua Pemuda UMNO Pontian, Mohd. Helmi Buang meminta Ahmad Zahid berehat, perkara yang sama disuarakan oleh Ketua Pemuda UMNO Seremban, Zool Amali Hussin.

Turut menyuarakan perkara yang sama, Ketua Pemuda Wilayah Persekutuan, Mohamed Nizham Abdullah Hamidi yang turut meminta seluruh kepimpinan UMNO perlu dirombak termasuk presiden.

Malah Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajuddin Sulaiman turut membuat gesaan sama yang dipercayai ketua UMNO bahagian pertama membuat desakan sedemikian secara terbuka.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional meminta semua pihak bersabar dan menunggu pemilihan parti yang akan diadakan pada tahun ini seperti dipersetujukan oleh Presiden UMNO.

“Kita ada saluran (pemilihan) parti di semua peringkat yang akan diadakan pada tahun ini dan terserah kepada ahli untuk membuat keputusan melalui platform yang betul sejajar dengan perlembagaan,” jelasnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, kepimpinan dan ahli-ahli UMNO perlu fokus kepada isu-isu semasa seperti pandemik Covid-19 dengan membantu golongan memerlukan di bahagian masing-masing. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN