Hiperaktif punca kanak-kanak perempuan didera pengasuh - Utusan Malaysia

Hiperaktif punca kanak-kanak perempuan didera pengasuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tidak tahan dengan kelakuan hiperaktif menjadi punca seorang kanak-kanak berusia 5 tahun maut disyaki didera pengasuhnya.

Itu motif yang diperoleh polis hasil soal siasat yang dilakukan mereka terhadap suspek berusia 61 susulan kejadian dera membabitkan kanak-kanak malang itu pada 2 Januari lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, siasatan juga mendapati suspek sudah mengasuh kanak-kanak terbabit sejak September lalu.

“Bapa mangsa yang bekerja di Vietnam tidak dapat pulang ke Malaysia berikutan pandemik Covid-19, manakala ibunya warga tempatan melarikan diri.

“Disebabkan itu, mangsa dijaga oleh pengasuh yang tinggal bersama dua anak lelakinya, masing-masing berusia 22 dan 34 tahun,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata Saiful Azly, suspek tidak mempunyai sebarang pertalian saudara dengan mangsa, hanya merupakan kenalan bapa budak perempuan itu yang meminta menjaga kanak-kanak berkenaan.

“Kertas siasatan kes ini dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan pertuduhan terhadap pengasuh berkenaan akan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. Dua anak lelakinya akan dijadikan saksi pendakwaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Saiful Azly turut berterima kasih atas keprihatinan orang ramai yang membantu polis dengan menyalurkan maklumat mengenai kejadian berkenaan.

“Walaupun ada perumpamaan ‘jangan jaga tepi kain orang’, masih ada perkara yang kita perlu sentiasa peka terutama jenayah membabitkan kes dera ini,” ujarnya.

Pada 2 Januari lalu, kanak-kanak perempuan ditemukan maut selepas dipercayai didera di sebuah kondominium di Jalan Ipoh, di sini.

Dalam kejadian 2.45 petang itu, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di atas katil serta lengkap berpakaian. Hasil pemeriksaan fizikal mendapati, terdapat kesan calar serta lebam pada beberapa bahagian badan dan kaki mangsa.

Sehubungan itu, polis menahan tiga suspek yang merupakan pengasuh dan anak-anaknya berusia lingkungan 22 hingga 61 tahun, dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya