PASIR MAS: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bertujuan memutuskan rantaian penularan Covid-19 di negara ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi, namun, turut memberi impak negatif terhadap ‘kantung’ kewangan rakyat.
Bagaimanapun, di sebalik kepahitan ketika dalam tempoh PKP ini, terselit juga kemanisan buat penghantar barang persendirian di negeri ini atau digelar runner apabila mereka tidak menang tangan melayani permintaan terutama untuk menghantar makanan.
Mohd. Ibzaiki Ibrahim, 38, dari Kampung Resak, Tendong di sini yang mencari rezeki sebagai runner makanan mengakui PKP 2.0 sejak 16 Januari lalu memberi rezeki tambahan buat diri dan keluarganya.
Bapa kepada empat cahaya mata itu berkata, menerusi perkhidmatan menghantar makanan tersebut yang rancak sepanjang dalam tempoh PKP, dia kini memperoleh pendapatan sehingga RM70 sehari.
Menurutnya, walaupun pekerjaan itu dilakukan secara kecil-kecilan, ia sedikit sebanyak meringankan bebannya dalam mencari rezeki untuk menyara keluarga.
“Saya bersyukur dengan rezeki kurniaan Allah SWT ini. Dapatlah dapur rumah saya ‘berasap’ walaupun ada sesetengah orang terpaksa berehat buat sementara waktu susulan PKP,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mohd. Ibzaiki memberitahu, dia bekerja sendiri tanpa bernaung di bawah mana-mana syarikat dan menggunakan laman sosial Facebook sebagai medium untuk mempromosikan perkhidmatan ditawarkannya.
“Terima kasih kepada orang ramai yang sudi berkongsi rezeki dengan menghubungi saya untuk membeli dan menghantar makanan.
“Saya mengenakan caj antara RM2 hingga RM3 bagi perkhidmatan menghantar makanan di sekitar bandar Pasir Mas. Kalau luar dari kawasan itu, cajnya bergantung kepada jarak perjalanan,” ujarnya.
Mohd. Ibzaiki berkata, sepanjang tempoh PKP ini, dia keluar mencari rezeki dengan menunggang motosikal seawal pukul 9 pagi.
“Dalam tempoh PKP, memang tempahan meningkat tinggi, bagaimanapun, saya lebih selesa mengambil tugasan mengikut kemampuan, untuk elak daripada gagal memenuhi permintaan pelanggan sebagaimana dijanjikan,” katanya.
Selain menjadi runner makanan, Mohd. Ibzaiki turut bekerja sebagai ejen jualan syarikat barangan elektrik dan elektronik rumah jenama Singer. -UTUSAN ONLINE