JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama seluruh anggota Kabinet Perikatan Nasional (PN) gagal menjalankan tugas mentadbir negara berdasarkan empat bukti yang dikemukakannya.
Bekas Pengerusi PKR negeri itu berkata, bukti pertama yang memerlukan Ahli Parlimen Pagoh itu meletak jawatan adalah kerana gagal menangani pandemik Covid-19 hingga mencatatkan kes tertinggi sebanyak 5,725 kes baharu,semalam dan menjadikan kes terkumpul mencecah lebih 200,000 setakat ini.
Katanya, dengan jumlah kumulatif kematian meningkat kepada 733, angka-angka tersebut menceritakan kegagalan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ditambah dengan vaksin untuk Covid-19 yang belum sampai ke Malaysia sehingga hari ini.
“Bukti kegagalan kedua adalah kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI) bagi 2020 semakin teruk iaitu jatuh ke kedudukan ke-57 berbanding tangga ke-51 pada tahun sebelumnya dalam masa 11 bulan Muhyiddin mentadbir negara.
“Kedudukan yang merosot ini antaranya disumbangkan pembebasan atau pelepasan kes-kes mahkamah yang meragukan dalam beberapa kes berprofil tinggi bagi kes rasuah seperti kes Riza Aziz, Tan Sri Musa Aman dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, Hassan berkata, Perdana Menteri bersama seluruh barisan Kabinetnya gagal menguruskan ekonomi negara dengan baik hingga menyebabkan penilaian penarafan kedudukan kewangan Malaysia jatuh dan pertumbuhan ekonomi menguncup teruk.
Katanya, kesannya, berjuta rakyat hilang pekerjaan, hutang negara bertambah malah kadar hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semakin meningkat.
“Kerajaan Muhyiddin gagal menghasilkan peluang pekerjaan baru kepada berjuta rakyat yang menganggur. Fakta yang dibentangkan oleh Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) berhubung pengaliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia telah jatuh 68 peratus kepada AS$2.5 bilion pada 2020,” tambahnya.
Beliau berkata, bukti keempat adalah kerajaan yang dipimpin Muhyiddin sekarang adalah sebuah kerajaan minoriti, bukannya sebuah kerajaan majoriti setelah beliau gagal mendapatkan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat di Parlimen.
Jelasnya, Perdana Menteri kerajaan minoriti ini menggunakan Proklamasi Darurat dan seterusnya menggantung Parlimen semata-mata untuk terus berkuasa malah perisytiharan darurat dijadikan alasan untuk kekal memerintah.
“Ini bercanggah dengan amalan demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia sejak negara kita Merdeka pada tahun 1957. Kerajaan minoriti Muhyiddin ini tidak stabil, tidak mendapat mandat rakyat dan tidak demokratik.
“Dengan berlandaskan sekurang-kurangnya empat sebab kegagalan ini, maka demi rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini, saya mendesak Muhyiddin dan seluruh anggota Kabinetnya meletakkan jawatan dengan segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE