TAPAH: Seekor harimau dahan betina yang dianggarkan berusia lima ke enam tahun ditemukan mati dipercayai dilanggar kenderaan di Jalan Tapah-Bidor di sini semalam.
Bangkai haiwan liar itu ditemui oleh kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak ketika melalui kawasan tersebut pada pukul 5.30 petang.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, harimau dahan itu atau nama saintifiknya neofelis nebulosa mati dipercayai akibat kecederaan dalaman ekoran dilanggar.
Katanya, bangkai harimau yang fizikalnya masih dalam keadaan baik itu dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan di Sungkai untuk proses taksedemi bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan.
“Ketika dijumpai, keadaan fizikal bangkai harimau dahan dewasa itu masih baik namun haiwan tersebut mungkin mati akibat kecederaan dalaman kerana dilanggar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Yusoff, harimau dahan merupakan spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010.
Katanya, Perhilitan berharap agar pengguna jalan raya lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan berdekatan hutan memandangkan kemungkinan hidupan liar melintas jalan.
“Orang ramai yang menemui hidupan liar yang cedera atau mati diharap dapat memaklumkan kepada Perhilitan agar tindakan segera dapat dilakukan.
“Jangan pula mengambil bangkai atau sebahagian daripadanya kerana ia adalah satu kesalahan dibawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya. – UTUSAN